Pemergian Pak Malim satu kehilangan besar dunia sastera - MB Perak
Abd Razak Mohd Ali
Jun 18, 2020 22:43 MYT
Jun 18, 2020 22:43 MYT
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menyifatkan pemergian penerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara (SEA Award) 2013, Dr Mohamed Ghazali Abdul Rashid atau nama penanya Malim Ghozali PK, sebagai satu kehilangan besar kepada dunia sastera.
Malah, kata Ahmad Faizal, secara peribadi, Allahyarham yang dikenali dengan Pak Malim sangat rapat dengannya dan bagaikan ayahnya sendiri.
“Bagi pihak pentadbiran kerajaan negeri dan seluruh rakyat negeri Perak saya, dengan perasaan penuh hiba dan pilu, mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham.
“Pastinya kita akan terus menyanjungi karya-karya ulung beliau yang telah menjadi sebahagian daripada khazanah agung bidang sastera negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Malim Ghozali PK meninggal dunia pagi ini di Hospital Serdang.
Ahmad Faizal menyeru umat Islam untuk menghadiahkan bacaan surah Al-Fatihah buat Allahyarham.
“Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh beliau, dihimpunkan bersama-sama mereka yang beriman dan beramal soleh serta dikurniakan sebaik-baik ganjaran syurga.
“Kita doakan agar keluarga Allahyarham Pak Malim dikuarniakan ketabahan dalam menghadapi ujian yang berat ini,” ujarnya.
Selain pernah memenangi SEA Write Award 2013, Malim juga adalah calon Sasterawan Negara Malaysia ke-14, novelis, penyair dan penulis terkenal.
Malim dinobatkan kerajaan negeri Perak sebagai Sasterawan Perak ketiga pada 13 Disember 2014 selepas Suhaimi Muhammad (1987) dan Mana Sikana @ Dr Abdul Rahman Hanapiah (2004).
Beliau menghasilkan pelbagai jenis sastera, antara karya-karya terbaiknya adalah novel Redang, diterbitkan pada 1988, Janji Paramaribo (1990), koleksi cerpen, Usia (2006), puisi Gemaruang (1987) dan Fantasi Malam (2007).
#Ahmad Faizal Azumu
#Anugerah Penulisan Asia Tenggara
#Dr Mohamed Ghazali Abdul Rashid
#Hospital Serdang
#kehilangan besar
#Malim Ghozali PK
#meninggal dunia
#Menteri Besar Perak
#Pak Malim
#Perak
#sastera
#Sasterawan Perak
#SEA Award