Pemergian Nilwan satu kehilangan besar buat UMNO dan rakyat Sabah - Bung Moktar

Eleanor Michelle Patrick
September 19, 2021 14:49 MYT
BUNG MOKTAR (dua dari kiri) ketika memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham Nilwan di Masjid Negeri Sabah. - Foto Facebook/BungMoktar
KOTA KINABALU: Pemergian Timbalan Ketua Penerangan UMNO Sabah Allahyarham Datuk Nilwan Kabang disifatkan satu kehilangan besar kepada UMNO Sabah dan rakyat negeri itu.
Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, Allahyarham adalah seorang pemimpin yang berjiwa kental, tidak mudah menyerah kalah dan sentiasa tenang dalam menghadapi cabaran.
"Allahyarham Nilwan seorang sahabat yang rapat dengan saya, kami berkecimpung dan berjuang dalam kerjaya politik sejak era pemerintahan USNO sehingga UMNO melebarkan sayap ke Sabah... kami berjuang bersama.
"Sebab itu saya sifatkan Allahyarham seorang pemimpin berjiwa kental dan sentiasa teguh kepada perjuangan," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
BACA:
Bung yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah turut berkongsi kesedihan atas pemergian Allahyarham Nilwan.
"Bagi pihak keluarga besar UMNO Sabah, saya merakamkan ucapan takziah kepada isteri Datin Amnani Abdullah serta seluruh ahli keluarga.
"Semoga mereka tabah menghadapi saat sukar ini dan kami mendoakan moga roh Allahyarham dicucuri rahmat serta ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman," katanya lagi.
Allahyarham Nilwan, 71, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kunak dan veteran politik Sabah, meninggal dunia di Hospital Gleneagles awal pagi tadi akibat jangkitan COVID-19.
#Nilwan Kabang #Bung Moktar Radin #meninggal dunia #UMNO Sabah
;