Pemergian Muhammad Ata kehilangan kepada negeri, negara - MPM
Harits Asyraf Hasnan
Januari 4, 2020 18:40 MYT
Januari 4, 2020 18:40 MYT
Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) menyifatkan pemergian Muhammad Ata Maarof, atlet angkat berat Orang Kurang Upaya (OKU) yang maut akibat melecur dalam kebakaran di kediamannya di Muar pada tengah hari Sabtu merupakan satu kehilangan besar.
Presidennya, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin berkata, beliau terkejut dengan kejadian yang menimpa atlet yang sangat berpotensi dari Jabatan Belia dan Sukan Negeri (JBSN) Johor itu.
“Saya pun dapat maklumat daripada Majlis Sukan Negara (MSN) bahawa atlet ini di bawah JBSN, jika saya tidak silap.
“Arwah merupakan atlet angkat berat dan pernah wakili negeri Johor ke Sukan Para di Perak dan pada masa sama dia pun ada sertai kejohanan-kejohanan yang dianjurkan MSN dan persatuan.
“Memang pemergian arwah adalah satu kehilangan kepada negeri dan negara kerana potensinya selain telah berlatih sejak tiga tahun lalu,” ujarnya ketika dihubungi Astro AWANI.
Beliau yang menzahirkan ucapan takziah mewakili seluruh warga MPM kepada keluarga arwah, turut akan menyalurkan khairat kematian dan sumbangan kepada anggota keluarganya.
Dalam pada itu, Megat D Shahriman juga akan berusaha mengadakan beberapa siri penerangan dan kempen dalam menggalakkan kesedaran dalam kalangan atlet berkenaan tahap keselamatan di kediaman dan tempat awam.
“Kita boleh berbincang bersama atlet dan bermesyuarat untuk melihat bagaimana kita boleh menyumbang dalam membentuk kesedaran seperti kempen sebagainya.
“Saya bukanlah orang yang sesuai untuk bercakap berkenaan perkara ini, namun kita boleh bekerjsama dengan pihak bomba dan pihak berkuasa tempatan untuk melihat bagaimana kita membantu mengikut keadaan semasa,” ujarnya.
Muhammad Ata maut akibat melecur 80 peratus pada tubuhnya apabila kediaman yang dihuni bersama ibunya di Taman Pagoh Jaya dekat Muar terbakar dalam kejadian pada tengah hari Sabtu.
Dalam kejadian sekitar pukul 11.45 pagi itu, Allahyarham yang berusia 28 tahun berada di bahagian dapur rumah berkenaan gagal menyelamatkan diri.
#angkat berat
#atlet paralimpik
#Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin
#Majlis Paralimpik Malaysia
#Mohd Ata