Pemergian Khalid Ibrahim kehilangan besar buat negara - DAP
Astro Awani
Ogos 1, 2022 10:51 MYT
Ogos 1, 2022 10:51 MYT
KUALA LUMPUR: Pemergian bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, disifatkan sebagai satu kehilangan besar buat negara.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, Allahyarham merupakan tokoh korporat yang amat disegani terutamanya ketika berperanan dalam pengurusan Permodalan Nasional Berhad (PNB) dari 1979 hingga 1994.
"Allahyarham juga akan dikenang sebagai mantan Menteri Besar Selangor yang memimpin Kerajaan Negeri Selangor selepas gabungan pembangkang menewaskan Barisan Nasional di Selangor buat pertama kalinya dalam Pilihan Raya Umum ke-12 pada 2008.
"Kepimpinan beliau dalam melaksanakan pelbagai dasar baharu di Selangor telah melonjakkan hasil dan rizab kerajaan negeri.
"Peningkatan hasil ini membolehkan pelbagai dasar kebajikan untuk rakyat dapat dilaksanakan di Selangor sejak 2008 sehingga sekarang," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Abdul Khalid meninggal dunia pada 11.08 malam tadi di Hospital Cardiac Vascular Sentral, Kuala Lumpur.
Mengulas lanjut, Anthony yang juga Ahli Parlimen Seremban mewakili pucuk pimpinan DAP merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham.
"Semoga roh beliau sentiasa dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan beramal soleh," katanya.