Pemergian Joseph Kurup: Sabah kehilangan pemimpin luar biasa - Hajiji
Astro Awani
April 17, 2024 23:30 MYT
April 17, 2024 23:30 MYT
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Hajiji Noor menyifatkan Sabah kehilangan pemimpin yang berpengalaman dan luar biasa susulan pemergian Tan Sri Joseph Kurup.
Ketua Menteri Sabah itu dalam satu kenyataan berkata, legasi mendiang melambangkan satu dedikasi dan perkhidmatan sejati, dan ia satu kehilangan besar buat semua.
"Mengenang kembali masa di mana saya berpeluang bekerja bersamanya, sebagai Pembantu Menteri di Kementerian Pembangunan Perindustrian Sabah pada tahun 1994, saya teringat akan kepemimpinannya yang luar biasa dan sumbangan yang besar yang telah beliau berikan kepada komuniti, negeri, dan negara kita," katanya dalam kenyataan itu, hari ini.
Dalam masa sama, Hajiji menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mendiang.
Kurup menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN) di ibu negara kira-kira jam 7.30 malam pada usia 80 tahun.
Pada Januari tahun lalu, Kurup yang juga pengasas PBRS mengumumkan persaraan dari arena politik dan melepaskan jawatan sebagai Presiden PBRS berkuat kuasa serta-merta.
Legasi mendiang diteruskan apabila anaknya Datuk Arthur Joseph Kurup dilipilih sebagai Ahli Parlimen Pensiangan pada PRU 2018 dan 2022, selain menggantikan beliau sebagai Presiden PBRS pada Januari 2023.