Pemergian demi mempertahankan negara

Astro Awani
Mac 13, 2013 09:44 MYT
Ibu mana yang tidak berasa sedih apabila anaknya terkorban di medan perjuangan. Namun bagi ibu Prebet Ahmad Hurairah Ismail, mereka sekeluarga redha dengan pemergian anaknya demi mempertahankan negara.
Allahyarham Hurairah mati ditembak sewaktu bertempur dengan pengganas Sulu di Sungai Nyamuk, Lahad Datu, Sabah.
Rahmah Mamat, 50 tahun berkata allahyarham merupakan seorang anak yang baik dan banyak membantu keluarga terutama bagi menampung perbelanjaan persekolahan adik-adiknya.
“Makcik rasa sedih la, pasal dia tak kelik (balik) lama dah tiga tahun dah tak balik, dia yang banyak bantu adik-adik sekolah.”
Namun katanya lagi, kehilangan anaknya itu lebih dirasai apabila mengenangkan hasratnya untuk mendirikan rumah tangga tidak lama lagi tidak kesampaian.
Bapa Ahmad Hurairah, Ismail Hussin pula menerima berita sedih mengenai anaknya itu daripada salah seorang rakan allahyarham pada sekitar jam 2.30 petang melalui panggilan telefon.
Panggilan terakhir yang diterima dari allahyarham adalah pada 1 Mac dimana allahyarham meminta keluarganya mendoakan keselamatannya sepanjang menjalankan operasi.
Pemergian Allahyarham Ahmad Hurairah, 24, merupakan pengorbanan yang tidak sia-sia.
Walaupun terkorban, prebet dari batalion 7 Rejimen Askar Melayu Diraja Tawau bersama pejuang yang lain berjaya menumpaskan tiga pengganas dalam satu pertempuran di Sungai Nyamuk.
Allahyarham yang berasal dari Kampung Lalang Bayu, Pasir Malam merupakan anak ketiga daripada 12 adik beradik.
Bagi Roslawati Ghani, ibu kepada Allahyarham Prebet Ahmad Farhan Ruslan, 24, berkata dia redha dengan pemergiaan anaknya yang maut dalam satu kemalangan sewaktu menghantar bekalan makanan di Lahad Datu.
Jenazah Allahyarham Ahmad Hurairah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Lalang Bayu, Pasir Mas manakala jenazah Allahyarham Ahmad Farhan di Tanah Perkuburan Islam Pasir Tumbuh, Kota Bharu.
#ahmad farhan #ahmad hurairah #Lahad Datu #Sabah #Sungai Nyamuk
;