'Pemergian Badrul Muhayat kehilangan besar, banyak memori kami bersama' - Azhar Sulaiman

Fareez Azman
Oktober 28, 2023 16:26 MYT
Nama Allahyarham akan terus tersemat dalam sejarah industri perfileman negara serta tidak akan dilupakan.
KUALA LUMPUR: Pemergian pelakon Allahyarham Badrul Muhayat Ahmad Jailani, 55, adalah satu kehilangan besar buat industri filem negara, kata pelakon senior, Azhar Sulaiman, 52.
Katanya, Allahyarham adalah antara rakan baiknya ketika mula berjinak-jinak dalam dunia lakonan.
"Satu kehilangan besar kepada industri kita... seorang bintang filem... saya akan mengenang semua memori dan detik bersama arwah.
"Banyak perkara kita harungi bersama... bukan sahaja kami tetapi semua dalam industri ini yang mencabar. Saya doakan Allah S.W.T tempatkan roh arwah bersama orang-orang beriman dan dicucuri rahmat ke atas rohnya.
"Salam takziah kepada seluruh keluarga Badrul Muhayat," katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Sabtu.
Pelakon Badrul Muhayat meninggal dunia
Jelasnya, banyak kenangan dan pengalaman dikongsi bersama Allahyarham sepanjang karier mereka.
"Saya belajar banyak nak menjadi pengemas dan organised macam arwah. Arwah punyai tulisan tangan yang cantik... surat-surat peminat kalau dia balas dia tunjuk.
"Arwah sangat puitis dan romantik... itu antara yang saya ambil contoh dari arwah supaya menjadi seorang yang kemas dan rapi," katanya lagi.
Kata Azhar lagi, nama Allahyarham akan terus tersemat dalam sejarah industri perfileman negara serta tidak akan dilupakan.
"Dia tercatat sebagai salah seorang pelakon filem kita yang takkan dilupakan. Harimau mati meninggalkan belang, pelakon mati meninggalkan semua hasil kerjayanya.
"Semoga kita mengenang Badrul Muhayat dalam suasana yang terbaik," jelasnya lagi.
#filem #Badrul Muhayat #meninggal dunia #azhar sulaiman
;