'Pemergian Allahyarham Hasbullah satu kehilangan besar bagi saya' - PM

Faris Danial Razi
November 16, 2020 20:37 MYT
MUHYIDDIN: Saya dan keluarga mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham atas pemergian insan tersayang. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: “Pemergian Allahyarham merupakan satu kehilangan besar buat saya.”
Itu luahan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, sebaik menerima perkhabaran mendukacitakan mengenai Ahli Parlimen Gerik, Datuk Hasbullah Osman yang disahkan meninggal dunia pada petang Isnin.
“Saya mendapat perkhabaran mendukacitakan yang Datuk Hasbullah Osman, Ahli Parlimen Gerik, Perak, baru sahaja meninggal dunia.
“Saya dan keluarga mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham atas pemergian insan tersayang.
“Banyak kenangan yang kami kongsi bersama. Pemergian Allahyarham merupakan satu kehilangan besar buat saya,” jelas Muhyiddin menerusi perkongsian di laman Facebook rasminya pada Isnin.
Jelas Ahli Parlimen Pagoh itu lagi, Allahyarham memainkan peranan besar sewaktu menjalankan tugas sebagai Bekas Setiausaha Politik ketika beliau menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri sebelum ini.
“Allahyarham ialah bekas Setiausaha Politik saya ketika saya menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri.
“Selaku Setiausaha Politik, arwah telah memainkan peranan besar dalam mencorakkan perjalanan politik saya, jasa yang amat saya hargai hingga ke hari ini.
“Sebagai seorang wakil rakyat, Allahyarham saya kenali sebagai individu yang sentiasa membangkitkan hal-hal berkaitan kepentingan rakyat di Parlimen, malah sikapnya yang ramah membuatkan Allahyarham mesra dengan semua orang,” tambah beliau lagi.
Bagi pihak kerajaan, Muhyiddin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih atas jasa bakti Allahyarham sepanjang bergelar wakil rakyat dan juga selaku Pengerusi Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB).
“Semoga amalan baik Allahyarham diterima Allah SWT dan rohnya ditempatkan bersama orang yang beriman dan beramal soleh. Amin,” ucapnya lagi.
BACA: Ahli Parlimen Gerik, Hasbullah Osman meninggal dunia
Terdahulu, Datuk Hasbullah Osman, 63 meninggal dunia Allahyarham di Raub, Pahang akibat sakit jantung.
Perkara tersebut disahkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Temenggor, Salbiah Mohamed.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Allahyarham memenangi kerusi Parlimen Gerik dengan undian majoriti sebanyak 5,528.
#Muhyiddin Yassin #Timbalan Perdana Menteri #Perdana Menteri #meninggal dunia #politik #pilihan raya #ADUN #Pahang #Parlimen #pilihan raya umum #Hasbullah Osman
;