Pemergian Abdul Taib kehilangan besar buat Sarawak - Hishammuddin

Faida Rahim
Februari 21, 2024 09:50 MYT
Hishammuddin berkongsi gambar kenangan beliau mengunjungi Allahyarham Abdul Taib di Instagram peribadinya.
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menyifatkan pemergian bekas Yang di-Pertua Negeri yang juga Ketua Menteri paling lama di Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud sebagai kehilangan besar bagi negeri Sarawak.
Dalam satu hantaran di Instagram, beliau menzahirkan rasa dukacita selepas mendengar berita pemergian Taib Mahmud pada pagi ini.
"Teramat mendukacitakan buat saya sekeluarga apabila mendapat perkhabaran Allahyarham Tun Abdul Taib Mahmud meninggal dunia awal pagi ini.
"Begitu banyak jasa, sumbangan dan usaha dicurahkan Allahyarham terutama sepanjang menjadi Ketua Menteri serta Yang di-Pertua Negeri Sarawak. Satu kehilangan besar buat negara khususnya bagi negeri Sarawak," katanya.
Beliau turut menitipkan ucapan takziah buat seluruh ahli keluarga, kenalan rapat serta rakyat negeri Sarawak.
Hishammuddin turut mendoakan agar roh Allahyarham sentiasa dicucuri rahmat.
Allahyarham Abdul Taib menghembuskan nafas terakhir di Cardiac Vascular Sentral Kuala Lumpur (CVSKL) sekitar pukul 4.28 pagi pada usia 87 tahun.
Berita duka pemergian pemimpin itu disahkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadilah Yusof kepada Astro AWANI.
#Abdul Taib Mahmud #Abdul Taib Mahmud meninggal dunia #Hishammuddin Hussein #Raghad Kurdi Taib
;