Pemerdagangan rokok haram naik semula separuh pertama tahun 2022
Umavathi Ramayah
Julai 28, 2022 17:32 MYT
Julai 28, 2022 17:32 MYT
KUALA LUMPUR: Pemerdagangan rokok haram kembali meningkat pada separuh pertama tahun ini selepas mencatatkan penurunan memberangsangkan pada tahun lalu.
Angka itu sebelum ini menurun daripada 63.8 peratus pada 2020 kepada 57.3 peratus pada 2021.
Pengarah Urusan Japan Tobacco International Berhad (JTI Malaysia), Khoo Bee Leng berkata, trendnya kembali meningkat pada 2022 dengan sejumlah 57.7 peratus penjualan rokok haram dicatatkan setakat Mei.
Bee Leng berkata, pelaksanaan kawalan dan pengawasan lebih ketat Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia terhadap rokok import yang membawa kepada pengurangan sebelum ini.
Namun katanya, peningkatan pemerdagangan rokok haram adalah berikutan pemindahan rokok dari kapal ke kapal yang berlaku di luar perairan wilayah Malaysia.
"Aktiviti pemerdagangan rokok haram ini berlaku apabila kapal yang membekalkan barang seludup itu berlegar di luar perairan Malaysia dan menyahaktifkan sistem pengenalan automatik (AIS).
"Dengan ini mereka yang secara automatik menghantar identiti kapal, kelajuan dan lokasi Sistem Kedudukan Global (GPS), menyebabkan kapal-kapal ini 'hilang' apabila menurunkan muatan rokok terlarang ke penerima," katanya pada sidang media di sini, pada Khamis.
Bagi menghentikan permerdagangan haram itu, Bee Leng menggesa kerajaan supaya menubuhkan pasukan petugas khas, terdiri daripada Polis Marin, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Tentera Laut, dengan operasi yang diselaraskan.
Selain itu, beliau juga mengesyorkan kerajaan supaya memintas semua kapal, baik pembekal atau penerima vesel yang mematikan transponder AIS mereka.
Bee Leng memberitahu, jurang harga antara rokok yang dikenakan cukai dan rokok haram terus melebar, susulan peningkatan cukai, insiden rokok haram akan terus berleluasa.
Menurutnya, rokok yang dikenakan cukai dijual pada harga RM12 setiap kotak manakala rokok haram yang diseludup itu dijual jauh lebih murah, iaitu antara RM4 dan RM6 sekotak.
Ketika diminta mengulas mengenai Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Hasil Tembakau dan Merokok, beliau berkata, pelaksanaan undang-undang itu hanya akan mendorong lebih ramai orang mengejar rokok haram.
"Kami tidak menyokong RUU ini kerana adalah tidak wajar mendiskriminasikan mereka yang lahir selepas 2007. Larangan ini tidak akan menjadi jawapan kepada masalah ini," jelasnya.
#Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia
#Maritim Malaysia
#Polis Diraja Malaysia
#pemerdagangan rokok haram