Pemerdagangan manusia: Pelawak bebas dengan jaminan polis

Hilmi Malik
Ogos 4, 2021 17:17 MYT
Polis masih jalankan siasatan seperti biasa walaupun dia dibebaskan dengan jaminan polis, kata Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop. - Gambar fail
KUALA LUMPUR : Seorang lelaki yang dipercayai pelawak terkenal dibebaskan dengan jaminan polis pada Selasa selepas ditahan sejak Ahad bagi membantu siasatan kes pemerdagangan manusia dan eksploitasi seks di Kuala Pilah.
Menurut Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop, siasatan kini masih berjalan seperti biasa sebelum ia diserahkan sepenuhnya kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya.
“Selepas keterangan individu berkenaan diambil, kita telah membebaskannya pada semalam.
“Bagaimanapun siasatan lanjut tetap dijalankan seperti biasa sebelum kes itu dirujuk kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya (DPP),” katanya ringkas ketika dihubungi Astro AWANI pada Rabu.
BACA: Pelawak terkenal ditahan kes pemerdagangan manusia
Media sebelum ini melaporkan, lelaki terbabit dipercayai pelawak berusia 40an itu ditahan di sebuah hotel di Kuala Pilah menerusi serbuan Op Pintas.
Difahamkan, polis turut berjaya menyelamatkan seorang wanita berketurunan Melanau sewaktu serbuan berkenaan.
Polis turut memberitahu, lelaki tersebut turut berdepan tindakan kompaun atas kesalahan rentas negeri tanpa kebenaran.
Mengulas lanjut, beliau menjelaskan siasatan masih kekal mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 15 tahun serta denda jika sabit kesalahan.
Justeru, pihaknya turut menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi agar tidak mengganggu siasatan.
“Kita (polis) tidak tahu dia pelawak jadi jangan keruhkan keadaan bagi ruang pada pihak polis selasaikan siasatan.
“Walaupun telah bebas tetapi siasatan masih berjalan jadi saya mohon orang ramai jangan buat spekulasi,” katanya lagi.
#Negeri Sembilan #rentas negeri #ATIPSOM #pelawak #ketua polis negeri sembilan #Datuk Mohamad Mat Yusop #pemerdagangan manusia #seks
;