Pemerdagangan manusia: Malaysia kekal di tahap 3 dua tahun berturut-turut

Astro Awani
Julai 20, 2022 10:30 MYT
Dalam laporan tersebut, ia mendedahkan kerajaan gagal mencapai piawaian minimum terhadap usaha menghapuskan pemerdagangan manusia. -Gambar hiasan
KUALA LUMPUR : Malaysia dilaporkan kekal berada pada tahap tiga (Tier 3) dalam Laporan Laporan Tahunan Jabatan Negara Amerika Syarikat Mengenai Pemerdagangan Orang (Us Tip Report) 2022.
Dalam laporan tersebut, ia mendedahkan kerajaan gagal mencapai piawaian minimum terhadap usaha menghapuskan pemerdagangan manusia.
Laporan tersebut turut mendedahkan, Jabatan Negara AS berkata kerajaan Malaysia telah mengambil "beberapa langkah" untuk menangani isu pemerdagangan, seperti meminda Akta antipemerdagangan manusia dan Akta Pekerjaan untuk memasukkan definisi buruh paksa yang lebih luas.
Malah kerajaan juga dilaporkan telah mensabitkan lebih ramai pemerdagang manusia berbanding tempoh pelaporan sebelum ini dan mengeluarkan lebih banyak pas kebebasan bergerak untuk mangsa yang dikenal pasti di pusat perlindungan yang dibiayai kerajaan, selain menerima pakai pelan tindakan nasional lima tahun terhadap buruh paksa.
Namun, dilaporkan kerajaan terus menggabungkan jenayah pemerdagangan manusia dan penyeludupan migran, yang menghalang penguatkuasaan undang-undang dan usaha mengenal pasti mangsa.
Ia turut menyaksikan siasatan antipemerdagangan merosot, dan kerajaan tidak mendakwa atau mensabitkan pegawai kerajaan yang didakwa terlibat dalam jenayah pemerdagangan.
Laporan tersebut meliputi usaha kerajaan bermula 1 April 2021 hingga 31 Mac 2022.
Ini turut menyaksikan Malaysia berada di tahap tiga untuk dua tahun berturut-turut sejak 2021. Sebelum ini, Malaysia berada dalam senarai pemantauan tahap dua untuk tiga tahun sebelumnya, dari 2018 hingga 2020, walaupun ia berada di peringkat dua pada 2017.
Sebelum itu, ia sekali lagi berada di senarai tontonan tahap dua dari 2015 hingga 2016.
Selain itu, AS menambah empat lagi negara iaitu Vietnam, Kemboja, Brunei dan Macau dalam senarai hitam pemerdagangan manusia, di samping Malaysia.
Negara itu diletakkan dalam senarai hitam berkenaan atas dakwaan kelemahan usaha untuk menghentikan pekerjaan seks secara paksa atau membantu pekerja asing.
Dalam laporan tahunannya itu, AS turut menyenaraikan Belarus ke dalam senarai hitam itu, selain meletakkan Bulgaria dalam dalam senarai pemerhatian atas kebimbangan negara itu tidak memandang serius isu pemerdagangan manusia.
#Amerika Syarikat #pemerdagangan manusia #Malaysia #Us Tip Report 2022
;