Ringkasan AI
- Kira-kira 90% rakyat Malaysia yang didakwa sebagai mangsa pemerdagangan manusia sebenarnya terlibat dalam sindiket jenayah penipuan di luar negara, kata Timbalan Menteri Luar Datuk Mohamad Alamin.
- Sindiket ini merekrut rakyat Malaysia melalui media sosial untuk bekerja sebagai scammer dengan tawaran menarik, tetapi kemudian menghadapi masalah seperti penderaan majikan.
- Kementerian Luar dengan kerjasama PDRM telah menyelamatkan 659 rakyat Malaysia setakat 10 Jun, dengan 187 lagi sedang dijejaki.
Timbalan Menteri Luar Datuk Mohamad Alamin berkata perkara itu dimaklumkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) ketika pembentangan laporan pemerdagangan manusia dalam Mesyuarat Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (MAPO) pada 26 Feb lepas.
Beliau berkata individu yang dikatakan menjadi mangsa turut memegang jawatan tinggi di syarikat mereka bekerja dan ada yang bekerja secara sukarela di negara terbabit.
"Jadi ia bukan penipuan dari segi kerja secara amnya tapi mereka adalah penjenayah yang terlibat dalam sindiket penipuan. Apabila mereka hadapi masalah didera oleh majikan atas faktor-faktor lain, tidak dibenarkan balik, barulah mereka tampil ke hadapan buat laporan kononnya mereka ditipu.
"Tetapi mereka adalah sebahagian daripada operator sindiket penipuan kerja ini. Ini laporan PDRM yang kita terima," katanya pada sesi Kamar Khas di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) yang ingin tahu usaha kerajaan dalam membendung masalah kes pemerdagangan rakyat Malaysia.
Khoo sebelum itu mencadangkan agar pemantauan dibuat terhadap rakyat Malaysia yang mendapat tawaran pekerjaan di luar negara, memperhebat kempen kesedaran berhubung aktiviti pemerdagangan manusia serta meningkatkan kerjasama negara-negara ASEAN dalam membanteras isu tersebut.
Berdasarkan pemerhatian, Mohamad berkata bilangan laporan yang diterima juga menunjukkan penurunan dalam trend semasa namun sedar terdapat warga Malaysia yang masih bekerja dengan sindiket terbabit.
Beliau berkata sindiket itu beroperasi merekrut rakyat Malaysia melalui medium pengiklanan media sosial seperti Facebook, WeChat dan WhatsApp untuk bekerja di luar negara dengan tawaran menarik seperti gaji lumayan, tambang penerbangan serta penginapan percuma selain kebebasan berjudi secara pinjaman.
"Apabila sampai di destinasi, mereka akan bekerja sebagai scammer dan melakukan operasi penipuan secara dalam talian melalui pelbagai cara termasuk love scam dan Macau scam atau mengendalikan online casino," katanya.
Mohamad berkata setakat 10 Jun lepas, Kementerian Luar dengan kerjasama PDRM dan pihak berkuasa negara terbabit berjaya menyelamatkan 659 rakyat Malaysia yang terlibat dengan sindiket penipuan tawaran pekerjaan di luar negara.
"Seramai 187 lagi sedang dijejaki menjadikan jumlah rakyat Malaysia yang terlibat adalah 846 orang dan jumlah ini berdasarkan laporan yang diterima daripada waris, ahli keluarga, rakan, PDRM serta individu itu sendiri," katanya.
Justeru itu, beliau berkata laporan media tempatan bahawa kira-kira 2,000 rakyat Malaysia yang menjadi mangsa pemerdagangan manusia masih terperangkap di luar negara adalah tidak sepadan dengan jumlah laporan yang diterima oleh Kementerian Luar sekali gus tidak boleh disahkan.
Menyentuh kerjasama ASEAN, Mohamad berkata hal itu boleh diperhalusi terutama membabitkan jalinan perisikan dan pelaksanaan pembasmian sindiket penipuan tawaran pekerjaan mengambil kira kedudukan Malaysia yang bakal menjadi Pengerusi blok serantau berkenaan pada 2025.
-- BERNAMA