Pemerdagangan manusia: 20 lagi mayat mangsa sindiket dikeluarkan dari hutan
Bernama
Jun 6, 2015 21:44 MYT
Jun 6, 2015 21:44 MYT
Dua puluh lagi mayat dipercayai mangsa sindiket pemerdagangan manusia dikeluarkan dari hutan simpan Mata Air di Felcra Lubuk Sireh di sini, hari ini.
Jumlah itu menjadikan 34 mayat dikeluarkan dari hutan tersebut setelah 14 mayat dikeluarkan semalam.
Sebelum itu 35 mayat dan rangka manusia dikeluarkan dari Bukit Wang Burma di Wang Kelian.
Ketua Polis Perlis SAC Shafie Ismail yang dihubungi mengesahkan 20 mayat dikeluarkan dari tapak dikenali sebagai Kubur 24 namun tidak dapat memberikan butiran lanjut.
Sekumpulan wartawan yang menunggu di Felcra Lubuk Sireh, melihat semua mayat itu diusung oleh anggota polis yang tiba di Felcra Lubuk Sireh kira-kira 6.50 petang tadi.
Semua mayat berkenaan terus dibawa dengan kenderaan polis ke Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar untuk ujian patologi.
Usaha wartawan untuk mendapatkan maklumat tidak berhasil kerana anggota polis yang ditemui enggan mendedahkan sebarang maklumat.
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar mengumumkan pada 25 Mei lepas penemuan 139 kubur mangsa sindiket pemerdagangan manusia di 28 kem transit di Bukit Wang Burma di Wang Kelian.