Pemerdagangan manusia: 2 individu dihadap ke mahkamah esok, pelawak tidak didakwa
Bernama
Ogos 23, 2021 21:50 MYT
Ogos 23, 2021 21:50 MYT
SEREMBAN: Dua individu, seorang lelaki dan wanita yang dipercayai terbabit dalam kes pemerdagangan manusia bagi tujuan eksploitasi seks baru-baru ini akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Pilah, dekat sini, esok.
Ketua Polis Daerah Kuala Pilah Supt Amran Mohd Ghani berkata mereka dijangka akan didakwa pada jam 9 pagi mengikut Seksyen 372 (1) (f) Kanun Keseksaan dan Seksyen 372B Kanun Keseksaan.
Menurutnya, seorang selebriti yang sebelum ini ditahan susulan dipercayai terbabit dalam kes berkenaan hanya dipanggil untuk membantu siasatan dan tidak didakwa.
"Penahanan selebriti itu hanya membantu siasatan dan akan menjadi saksi kes sahaja," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.
Media sebelum ini melaporkan beberapa individu ditahan termasuk seorang selebriti lelaki berumur 40-an pada 1 Ogos lepas bagi membantu siasatan kes pemerdagangan manusia dipercayai bagi tujuan eksploitasi seks.
Susulan penahanan itu, polis turut menyelamatkan seorang wanita berketurunan Melanau di sebuah bilik hotel di Kuala Pilah dekat sini dan mendapat perintah perlindungan sementara untuk menempatkan mangsa di sebuah rumah perlindungan di Johor.
-- BERNAMA