Pementasan "Dont Let Usman Awang Know", waris Usman Awang kecewa, Pena bantah

Astro Awani
Julai 8, 2019 16:46 MYT
Haslina Usman memohon penganjur meletakkan sarikata bahasa Melayu dalam setiap pementasan yang menggunakan bahasa lain. - Gambar KLPAC
Waris Sasterawan Negara, Allahyarham Datuk Usman Awang kecewa dengan rekabentuk poster pementasan "Don't Let Usman Awang Know" yang akan berlangsung di Pusat Seni Persembahan Kuala Lumpur (KLPAC) dari 11 hingga 14 Julai ini.
Anak Allahyarham, Haslina Usman berkata, sebagai waris kepada Sasterawan Negara itu, pihaknya faham pementasan itu dibuat dalampelkbagai bahasa namun kecewa kerana Bahasa Melayu dipinggirkan dalam poster tersebut.
Sehubungan itu, pihaknya meminta agar penganjur pementasan itu, Muka Space dan Yayasan Hasanah membuat terjemahah tajuk dan menyediakan sarikata dalam Bahasa Melayu “Don’t Let Usman Awang Know” dalam semua pementasan.
"Kami memohon ini atas pendirian dan perjuangan arwah ayah memartabatkan Bahasa Melayu selama penghidupannya.
"Harap hormat juga atas status beliau sebagai Sasterawan Negara. Harap semua yang terlibat maklum dan bertindak dengan kadar segera. Mohon kerjasama dari Muka Space dan Yayasan Hasanah," kata Haslina.
Sementara itu, Persatuan Penulis Nasional (Pena) juga membantah ketiadaan Bahasa Melayu dalam poster pementasan itu.
Presiden Pena, Dr Mohamad Saleeh Rahamad berkata, pihaknya memahami bahawa pementasan ini bukan anjuran pihak kerajaan dan penganjur bebas berbuat apa sahaja termasuk menggunakan bahasa Cina dan Inggeris.
"Tapi, ini tentang Usman Awang, Ketua 1 PENA yang pertama pada tahun 1961.
"Tidak bolehkah Bahasa Melayu digunakan juga? Kami tahu ini program mereka. Tapi Usman Awang orang Pena yang membina Bahasa Melayu dan sangat santun orangnya terhadap semua bangsa.
"Kami berpendapat poster ini perlu juga menggunakan Bahasa Melayu," katanya dalam satu kenyataan yang disiarkan di Facebook peribadinya.
Dalam kenyataannya juga, Dr Mohamad Saleeh turut berkongsi sebuah sajak protes Usman terhadap pelanggaran Perkara 152 oleh kerajaan Malaysia pada tahun 1967 yang berjudul "Malam di Balai Budaya".
#bahasa #Don't Let Usman Awang Know #Dr Mohamad Saleeh Rahamad #Haslina Usman #Melayu #pementasan #Usman Awang
;