Pemenang pertandingan puisi antarabangsa dedah pernah ada masalah gagap!
Afiq Ariffin
Oktober 16, 2018 16:56 MYT
Oktober 16, 2018 16:56 MYT
Petah berkata-kata dan mempunyai bakat dalam bidang syair, Azam Rais suatu ketika dahulu seorang yang gagap dan pemalu.
Azam muncul juara di Pertandingan Poetry Slam di Festival Lit Up Asia Pasifik 2018 yang berlangsung selama dua hari di Singapura mulai Ahad.
Dalam kejuaraan itu, Azam mengatasi 17 lagi peserta dari Malaysia, Singapura, Indonesia dan Filipina.
Pemuda yang berusia 28 tahun itu berkata dia mula menulis puisi sejak kecil lagi bagi mencabar dirinya sendiri yang gagap dan takut untuk bercakap di khalayak ramai.
“Saya telah mula menulis puisi ketika berusia belasan tahun lagi tetapi saya hanya mula mempersembahkannya sejak empat atau lima tahun dahulu,” katanya ketika dihubungi oleh wartawan Astro AWANI.
Beliau menjuarai pertandingan itu dengan tiga puisi ciptaannya sendiri yang bertajuk “Stutter”, “Power” dan “Whore”.
Puisi pertama yang bertajuk “Stutter” itu menceritakan tentang pengalaman peribadinya yang merupakan seorang yang gagap sejak kecil dan kemudiannya mengatasi kelemahannya sendiri menerusi puisi.
Sementara itu, puisi bertajuk "Power" pula menceritakan peristiwa politik di Malaysia termasuk GE14 dan skandal 1MDB. Ia turut menceritakan tentang orang yang mempunyai kuasa, pemerintahan kerajaan dan cara untuk berhubung di antara rakyat serta kerajaan.
Puisi terakhir yang dipertandingkan pada malam itu adalah "Whore" ataupun “pelacur” dalam Bahasa Melayu. Puisi ini menceritakan tentang cara kita melihat seorang pelacur dengan pandangan negatif tanpa kita sedari bahawa mereka adalah mangsa pemerdagangan seks.
Turut menarik perhatian orang ramai pada malam itu apabila Azam menegaskan bahawa semua orang adalah pelacur di dalam dunia ini dan hanya memilih bahagian mana yang ingin dilacurkan,
Menerusi kemenangannya, Azam turut berharap bahawa mereka yang meminati bidang puisi ini supaya tidak malu untuk menceburi bidang ini dan menyokong bidang puisi ini.
“Saya berharap agar rakyat Malaysia boleh menyokong industri puisi dengan membeli karya-karya tempatan dan menghadirkan diri dalam acara puisi kerana banyak karyawan kita boleh pergi jauh jika kita sokong karya tempatan,” katanya lagi.
Menurut beliau juga, pemuisi yang hadir pada malam itu memberikan persaingan yang sengit kerana mereka juga merupakan pemuisi yang hebat dan mempunyai latar belakang yang berbeza.
Selain Adam Rais, peserta Malaysia yang menyertai pertandingan itu juga adalah Umar Azizi, Chloe Ling dan Kimchi Lai.
#Adam Rais
#Astro Awani
#Festival Lit Up Asia Pasifik 2018
#Filipina
#gagap
#Indonesia
#Malaysia
#menang
#Poetry Slam
#puisi
#Singapura