Pemegang pas lawatan sosial tinggal lebih masa tidak perlu pas khas untuk pulang

Bernama
Mei 5, 2020 19:03 MYT
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, warga asing berkenaan boleh meninggalkan negara ini melalui Pintu Masuk Negara dengan melaporkan diri di kaunter Imigresen bersama dokumen perjalanan yang sah. - Bernama
Warga asing, yang memiliki Pas Lawatan Sosial (PLS), yang telah tinggal lebih masa mulai 1 Januari 2020 sehingga 14 hari bekerja selepas tamat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dibenarkan pulang ke negara asal tanpa perlu mendapatkan Pas Khas (SP) di pejabat Imigresen.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, warga asing berkenaan boleh meninggalkan negara ini melalui Pintu Masuk Negara dengan melaporkan diri di kaunter Imigresen bersama dokumen perjalanan yang sah dan maklumat mereka akan diambil serta direkodkan.
"Mereka yang meninggalkan negara dalam tempoh yang dinyatakan ini tidak akan dikenakan tindakan penguatkuasaan dan tidak disenarai hitamkan," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Bagaimanapun, warga asing pemegang Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) yang tamat tempoh tidak boleh menggunakan kemudahan itu dan masih perlu mengikut peraturan sedia ada untuk pulang ke negara asal.
Warga asing berkenaan yang tidak pulang ke negara asal dalam masa 14 hari bekerja selepas tamat PKP perlu merujuk dan mendapatkan pembuktian dari kedutaan masing-masing tentang justifikasi tidak dapat meninggalkan negara ini atau berhadapan dengan tindakan penguatkuasaan dan akan disenarai hitam, katanya.
-- BERNAMA
#Imigresen #Pas Khas #Pas Lawatan Kerja Sementara #Pas Lawatan Sosial #warga asing
;