Pemegang lesen perdagangan KPDNKK perlu tandatangani ikrar integriti

Bernama
November 17, 2014 15:37 MYT
Kira-kira 18,000 pemegang lesen perdagangan dalam negeri yang beroperasi ketika ini, pelaksanaan ikrar itu akan dilakukan secara berperingkat. - Gambar fail
Semua pemegang lesen perdagangan di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) perlu menandatangani Ikrar Integriti Korporat (CIP) bagi memastikan perkhidmatan ditawarkan bebas elemen tidak sihat.
Ketua Setiausaha KPDNKK Datuk Seri Alias Ahmad berkata memandangkan terdapat kira-kira 18,000 pemegang lesen perdagangan dalam negeri yang beroperasi ketika ini, pelaksanaan ikrar itu akan dilakukan secara berperingkat.
Beliau berkata sebelum ini sembilan syarikat minyak, iaitu pemegang kebenaran Akta Kemajuan Petroleum (PDA) telah menandatangani ikrar integriti sebagai mendukung usaha kementerian memastikan perniagaan dijalankan dengan penuh berintegriti dan bertanggungjawab.
"Ikrar ini bukan hanya terbatas kepada pemegang kebenaran PDA, tetapi ia akan diperluaskan kepada semua lesen yang di bawah bidang kuasa kementerian pada masa akan datang," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Hari Integriti peringkat kementerian itu di sini hari ini.
Pelancaran sambutan disempurnakan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hasan Malek.
Alias berkata dengan jumlah pemegang lesen yang begitu banyak, kawalan dan pemantauan ketat perlu dibuat bagi memastikan perkhidmatan yang diberikan adalah terbaik dan bebas penyelewengan.
Sementara itu, Hasan meminta jentera organisasi dan tadbir urus berkaitan rasuah dan tatatertib terus diperkemas bagi memastikan KPDNKK terus berada di landasan kukuh, seterusnya muncul sebagai kementerian yang disegani.
Beliau berkata usaha itu perlu dilaksanakan secara berterusan melalui penggunaan sumber secara mapan, struktur organisasi yang kemas, modal insan berwibawa serta memaksimumkan potensi dalam kalangan pekerja.
"Dengan gabungan semua warga kementerian berserta integriti yang dijunjung, saya yakin setiap program yang direncana berupaya menjadikan KPDNKK terus disegani dan dihormati," katanya.
Pada majlis itu, Alias dan pegawai penguat kuasa kementerian, Fahmi Kasim dipilih sebagai ikon integriti kementerian berdasarkan ketokohan dan sumbangan mereka dalam memerangi rasuah dan salah laku.
#Akta Kemajuan Petroleum (PDA) #CIP #Datuk Seri Alias Ahmad #Datuk Seri Hasan Malek #Ikrar Integriti Korporat #kementerian perdagangan dalam negeri #Koperasi dan Kepenggunaan #KPDNKK
;