Pemecahan kepulauan Melayu: Adakah perjanjian British-Belanda 1824 sah?
Mohd Hazmi Mohd Rusli
November 17, 2016 09:55 MYT
November 17, 2016 09:55 MYT
SETELAH Melaka kecundang pada tahun 1511, dua waris mahkota Melaka, Sultan Muzaffar Shah dan Sultan Alauddin Riayat Shah II telah masing-masing menubuhkan kerajaan Perak dan Johor, dengan menebarkan kekuasaan ke atas wilayah yang dahulunya pernah dikuasai Melaka.
Sungguhpun pengaruh Perak tidak begitu menonjol, Johor berkembang menjadi sebuah kuasa Melayu yang disegani di rantau Selat Melaka. Pelabuhan Riau milik Kesultanan Johor telah mengatasi Melaka sebagai pelabuhan utama di kepulauan Melayu pada kurun ketujuh belas Masihi. Johor sangat berpengaruh sehinggakan Belanda membuat kerjasama ketenteraan dengan Johor untuk mengusir Portugis dari Melaka pada tahun 1641.
Tidak lama selepas itu, pihak British muncul di Kepulauan Melayu pada tahun 1685 dan menubuhkan koloni mereka di Bencoolen, atau sekarang lebih dikenali sebagai Bengkulu di Indonesia.
Sekiranya orang-orang Melayu di utara Semenanjung terpaksa menghadapi kesan Perjanjian British-Siam 1909 yang menjarah wilayah mereka tanpa rela, orang-orang Melayu di selatan dibelenggu Perjanjian British-Belanda 1824 yang telah membelah Dunia Melayu sehingga hari ke hari ini.
Tuntutan Wilayah di Dunia Melayu
Setelah Portugis datang ke Melaka pada tahun 1511, pihak Belanda dan British juga cuba untuk menebarkan jejaring pengaruh mereka di Dunia Melayu. Pada tahun 1619, pihak Belanda telah menubuhkan Batavia di Pulau Jawa dan seterusnya menguasai Melaka pada tahun 1641. Pada tahun 1685, pihak British tiba di Asia Tenggara dan telah membangunkan Kota Marlborough di koloni mereka di Bengkulu (Bencoolen), Sumatera.
Pada awal dekad 1600, Aceh telah muncul sebagai kuasa tempatan utama di rantau ini dengan menguasai wilayah di utara Pulau Sumatera dan Semenanjung Melayu, menundukkan Johor dan Kedah di bawah kekuasaannya. Aceh mengalami zaman kejatuhan setelah kemangkatan Sultan Iskandar Thani pada tahun 1641. Johor mengambil kesempatan ini untuk kembali menguasai rantau Selat Melaka.
Menjelang tahun 1680, Pelabuhan Riau muncul sebagai pusat perdagangan utama dan ini diakui sendiri oleh Gabenor Belanda di Melaka pada ketika itu, Thomas Slicher yang menggambarkan bahawa Riau adalah pelabuhan yang sarat dengan aktiviti perkapalan.
Sementara itu, pihak Belanda tidak berminat untuk memajukan Melaka kerana mereka lebih berminat dengan Batavia, ibu negeri empayar Belanda di Timur. Pihak British juga tidak mahu tertinggal di dalam usaha perluasan kekuasaan di Dunia Melayu. Pada tahun 1786, Francis Light menduduki Pulau Pinang tetapi seperti Bencoolen, ia tidak berkembang maju seperti diharapkan.
Pada tahun 1812, pihak British juga mengambil Pulau Bangka-Belitung setelah wilayah ini diserahkan oleh Kesultanan Palembang kepada mereka.
Persaingan merebut wilayah di Dunia Melayu di antara pihak Belanda dan British menjadi semakin serius apabila Stamford Raffles, bekas Gabenor Bencoolen berkeputusan bahawa pihak British memerlukan penempatan strategik lain yang berpusat di Semenanjung Melayu bagi mengimbangi hegemoni Belanda di rantau ini.
Pada awalnya, Pulau Bintan dikenalpasti sebagai calon untuk penempatan British yang baru tetapi pada akhirnya, Raffles beralih memilih Singapura, yang pada waktu itu sebahagian daripada wilayah kesultanan Johor-Riau. Pada 6 Februari 1819, Tengku Hussein menyerahkan Pulau Singapura kepada Raffles dengan imbalan pengiktirafan British kepada Baginda sebagai Sultan dan penguasa kerajaan Johor.
Walaupun Semenanjung Melayu dan Pulau Sumatera berhadapaan dengan kemasukan pengaruh kuasa Eropah secara perlahan, kerajaan-kerajaan Melayu tempatan rata-ratanya masih bebas merdeka sehingga Perjanjian British-Belanda 1824 ditandatangani. Perjanjian ini dimeterai oleh kuasa-kuasa penjajah tanpa mengambil kira kesannya terhadap senario sosio-politik Dunia Melayu pada ketika itu.
Perjanjian British-Belanda 1824
Pemerintah Belanda, yang pada waktu itu merupakan penguasa Melaka tidak berpuas hati dengan Raffles yang telah mengambil Singapura. Pihak British juga berpendapat bahawa tidak sesuai untuk mereka terus berkuasa di Bencoolen kerana lokasinya yang jauh dari penempatan British yang lain, iaitu Pulau Pinang dan Singapura. Sebagai langkah kompromi, pihak British dan Belanda bersetuju untuk menukarkan wilayah sesama mereka dan sebagai akibatnya, Bencoolen telah digantikan dengan Melaka pada tahun 1824.
Perjanjian ini secara jelas meletakkan Semenanjung Melayu dan Singapura di bawah pengaruh British manakala Pulau Sumatera dan pulau-pulau di selatan Selat Singapura di bawah dominasi Belanda. Perjanjian ini juga mengesahkan kependudukan Belanda di Jawa dan Pulau Bangka-Belitung.
Dari sudut sejarah, Semenanjung Melayu, Pulau Sumatera dan Kepulauan Riau memang secara politik adalah sebahagian dari wilayah yang sama. Walaupun Semenanjung Melayu terpisah dari Pulau Sumatera dan Kepulauan Riau oleh Selat Melaka dan Selat Singapura, majoriti penduduknya adalah dari rumpun Melayu yang berkongsi sejarah, budaya, bahasa dan agama yang sama.
Seperti Perjanjian British-Siam 1909 yang memisahkan wilayah utara Tanah Melayu menerusi Sungai Golok – sebatang sungai yang kecil, Perjanjian British-Belanda 1824 pula secara efektif mengubah struktur sosio-politik Kesultanan Johor-Riau dengan menggunakan Selat Melaka dan Selat Singapura yang sempit itu. Akibatnya, Empayar Johor-Riau telah dipisahkan kepada dua bahagian – Kesultanan Johor yang dipimpin oleh Sultan Hussein dan Kesultanan Riau yang dikepalai Sultan Abdul Rahman.
Adakah Perjanjian British-Belanda 1824 Sah?
Perjanjian British-Belanda 1824 telah mengukir wilayah Melayu mengikut kepentingan kuasa-kuasa penjajah walaupun British dan Belanda pada ketika itu Semenanjung Melayu, Pulau Sumatera dan Kepulauan Riau belum lagi secara sepenuhnya menjadi sebahagian daripada empayar dua kuasa penjajah ini semasa Perjanjian ini ditandatangani. Melainkan Pulau Pinang, Melaka, Singapura dan Bencoolen, kebanyakan wilayah-wilayah di Semenanjung Melayu, Pulau Sumatera dan Kepulauan Riau masih lagi di bawah dominasi kerajaan-kerajaan Melayu yang berdaulat seperti Aceh, Johor, Minangkabau, Riau dan Deli, antara lain.
Malah, kedaulatan Kesultanan Johor telah disahkan oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di dalam kes Pertikaian Pedra Branca pada tahun 2008. Kesultanan Johor kini adalah sebahagian daripada wilayah negara Malaysia.
Nemo dat quod non habet, yang bermaksud 'tiada siapa memberi apa yang tidak dimilikinya' ialah suatu konsep di bawah undang-undang kontrak yang mana seseorang individu itu tidak boleh menjual atau memindahkan hak pemilikan terhadap sesuatu yang tidak dimilikinya.
Seseorang hanya boleh memberikan kepada seseorang yang lain apa yang dimilikinya sahaja. Konsep ini juga adalah relevan dari sudut pemindahan wilayah sesebuah negara. Sebagai contoh, apabila Kerajaan Perancis menjual Louisiana kepada Amerika Syarikat (AS) pada tahun 1803, Perancis adalah penguasa berdaulat ke atas wilayah Louisiana tersebut.
Rusia juga berhak menjual Alaska kepada AS pada tahun 1867 kerana kerajaan Rusia adalah pemerintah berdaulat ke atas wilayah ini sebelum ianya menjadi milik AS. Kedua-dua Louisiana dan Alaska hari ini adalah sebahagian dari negeri-negeri di dalam AS.
Pada tahun 1824, pihak British belum lagi menjadi pemerintah yang menguasai Tanah Melayu secara total. Pihak British hanya secara perlahan menguasai negeri-negeri Melayu bermula tahun 1874 setelah Perjanjian Pangkor ditandatangani. Dalam pada itu, pihak Belanda juga masih ketika itu cuba untuk menguasai pulau-pulau lain di Nusantara.
Berdasarkan konsep nemo dat quod non habet, pihak British dan Belanda tidak memiliki hak untuk memindahkan pemilikan wilayah secara sesuka hati melainkan dengan kebenaran pemerintah tempatan. Dari sudut pandang ini, adalah wajar dikatakan bahawa Perjanjian British-Belanda 1824 adalah tidak sah dan terbatal.
Namun begitu, boleh juga dihujahkan bahawa Perjanjian ini tidak secara tepat menetapkan wilayah kedaulatan British dan Belanda ke atas Pulau Sumatera, Semenanjung Melayu dan Kepulauan Riau. Oleh kerana Perjanjian ini hanya menetapkan sfera pengaruh dan bukannya Perjanjian yang menetapkan wilayah kedaulatan, maxim perundangan nemo dat quod non habet tidak relevan dan tidak akan menyebabkan Perjanjian ini terbatal.
Walaupun Perjanjian British-Belanda 1824 ini boleh dikatakan tidak sah, Perjanjian ini secara jelas telah mempengaruhi Dunia Melayu sekaligus memisahkan Nusantara kepada dua bahagian sehingga kini – Malaysia sebagai negara pewaris British Malaya (dan British Borneo) serta Indonesia sebagai negara pewaris Hindia Timur Belanda. Berdasarkan senario terkini, adalah mustahil bagi Pulau Sumatera dan Kepulauan Riau bergabung semula secara politik dengan Semenanjung Melayu untuk membentuk sebuah negara.
Kelemahan pemerintah-pemerintah terdahulu telah mendedahkan Nusantara kepada penjajahan yang berterusan. Sebagai negara-negara utama di Asia Tenggara, rakyat Malaysia dan rakyat Indonesia perlu mengambil kesan Perjanjian ini sebagai iktibar dan kekal bersatu bagi membina Nusantara yang lebih utuh agar sejarah penjajahan ini tidak berulang lagi.
Mohd Hazmi bin Mohd Rusli (Ph. D) ialah seorang pensyarah kanan di Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia dan penyelidik bersekutu di Asia-Africa Legal Consultative Organization, New Delhi, India.