Pemburuan haram ialah jenayah terancang - TRAFFIC Asia Tenggara
Irfan Faruqi
September 3, 2024 20:56 MYT
September 3, 2024 20:56 MYT
KUALA LUMPUR: Aktiviti pemburuan haram disifatkan sebagai jenayah terancang.
Ringkasan AI
- Aktiviti pemburuan haram di Malaysia dianggap sebagai isu keselamatan negara, yang boleh menggugat keselamatan pelancong dan menyebabkan kematian pemburu haram.
- Kes pemburuan haram melibatkan rangkaian yang kompleks, termasuk pengangkutan dan penyeludupan bahagian hidupan liar, serta melibatkan lebih ramai individu selain daripada pemburu yang ditangkap.
Pengarah TRAFFIC Asia Tenggara, Kanitha Krishnasamy berkata demikian kerana pemburu haram perlu membuat persiapan rapi untuk memburu hidupan liar dan membawa keluar hasil buruan dari hutan.
Beliau berkongsi kes empat orang pemburu haram yang ditahan bersama 1,000 bahagian hidupan liar yang pelbagai di Sungai Pancing, Pahang.
“Antara kes yang kita dapat adalah berkenaan empat orang yang telah ditahan di Pahang. Mereka memiliki lebih 1,000 bahagian hidupan liar pelbagai binatang; Harimau Malaya, harimau kumbang, beruang, tenggiling, dan gajah... Mereka sudah lama rancang.
“Bukan sahaja rancang untuk rancang untuk masuk hutan, bahkan rancang untuk ekstrak harimau yang diburu sehingga dapat hasil tulang, kuku, taring dan sebagainya. Ini jenayah terancang memandang mereka perlu tahu kaedah untuk mengangkut hasil buruan dari hutan sampai ke Sungai Pancing, tempat mereka ditahan.
“Bagaimana mereka pindahkan? Siapa mereka gunakan untuk pengangkutan? Ini satu isu yang sangat kompleks yang bukan sahaja melibatkan empat orang yang tertangkap bahkan juga lebih ramai orang yang membolehkan bahagian hidupan liar ini dibawa keluar dari hutan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Agenda AWANI pada Selasa.
Pemburuan haram ialah jenayah terancang – TRAFFIC Asia Tenggara
Tambah Kanitha, pemburuan haram yang berlaku di Malaysia disifatkan sebagai isu keselamatan negara. Jelasnya, bukan sahaja aktiviti tersebut boleh membawa maut kepada pemburu haram, bahkan juga boleh menggugat keselamatan pelancong yang masuk ke dalam hutan.
“Isu pemburuan haram ialah isu keselamatan kerana orang yang masuk hutan tidak masuk sendirian. Selalunya mereka ada kumpulan dan kadang-kadang mereka pasang jerat. Kadang-kadang mereka memburu dengan menggunakan senapang.
“Dalam banyak kes orang yang membawa senapang secara tidak sengaja menembak rakan pemburu yang menyebabkan kematian. Kita sebagai pelancong yang masuk hutan dan silap-silap terjumpa pemburu haram, kalau ada konflik keadaan akan menjadi buruk,” ujarnya.