Pemburu haram, haiwan hutan yang berkurangan percepatkan kepupusan harimau

Bernama
Julai 31, 2019 09:00 MYT
Aktiviti pemburu haram yang didorong oleh permintaan tinggi untuk anggota badan harimau bagi tujuan perubatan tradisional Cina serta lain-lain kegunaan, turut menarik kehadiran pemburu asing.
Masa hadapan Harimau Malaya kini dilihat semakin terumbang-ambing susulan kerakusan pemburu haram yang terus memburu tanpa mengira natijahnya.
Kegiatan mereka telah dikesan di kawasan hutan simpan Belum-Temengor dan berterusan menjejaskan hidupan liar di sana, termasuk yang menjadi sumber makanan buat harimau.
Dalam temu bual Bernama dengan World Wildlife Fund (WWF) Malaysia, Ketua Lanskap Harimau Dr Mark Rayan Darmaraj berkata, apa yang menyedihkan ialah ketika ini populasi harimau dalam negara semakin berkurangan sehingga jumlahnya kini tidak sampai 200 ekor.
Aktiviti pemburu haram yang didorong oleh permintaan tinggi untuk anggota badan harimau bagi tujuan perubatan tradisional Cina serta lain-lain kegunaan, turut menarik kehadiran pemburu asing dari negara-negara seperti Vietnam, Thailand, dan Kemboja dalam negara.
Mereka memasang beribu-ribu perangkap seperti perangkap berkawat, jauh di tengah hutan, menangkap harimau dan juga haiwan liar lain yang ada.
"Pengurangan jumlah haiwan liar dalam hutan seperti rusa dan babi liar yang dianggap sebagai sumber makanan biasa bagi harimau sebenarnya bukan sahaja disebabkan oleh kerakusan pemburu haram, tapi juga penduduk tempatan yang memburu haiwan-haiwan ini bagi tujuan riadah," katanya.
"Ini juga secara tidak langsung boleh dianggap sebagai pemburu haram, kerana ia memberi kesan kepada masa depan harimau dalam hutan negara," tambahnya.
Bergantung kepada berapa besar mangsanya, rusa kecil sebesar kijang (muntjac) boleh menjadi sekadar snek sahaja buat seekor harimau, jadi ia perlu memburu lagi dan memerlukan lebih banyak tenaga.
Seekor rusa dewasa pula mampu mengenyangkan seekor selama 10 hari, sebelum ia kembali mencari mangsa.
Menurut Mark, seekor harimau biasanya akan memburu atau mencari pasangan dalam satu kawasan sahaja.
Apabila haiwan lain di kawasannya itu tiada, dia tidak akan dapat hidup lama kerana sudah tiada makanan buatnya.
Salah satu usaha yang dijalankan oleh Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF) bagi menyelamatkan harimau adalah mewujudkan pasukan peronda yang turut disertai Orang Asli yang tinggal di kawasan Belum-Temenggor.
Mereka akan meronda kawasan tersebut serta memusnahkan perangkap yang ditinggalkan pemburu haram serta melaporkan kegiatan tersebut kepada WWF.
"Kita ada beberapa pasukan yang akan lakukan tinjauan setiap hari, namun jumlah tenaga kerja masih tidak mencukupi memandangkan lebih banyak lagi kawasan hutan yang perlu dipantau.
Baru-baru ini pencinta alam menyuarakan keterujaan mereka mengenai berita terbaru berhubung kesediaan pasukan polis membantu renjer Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), dalam menjalankan rondaan jauh di tengah hutan.
Polis Diraja Malaysia dilaporkan bersetuju untuk menghantar dua petugas Pasukan Gerakan Am (PGA) daripada batalion Senoi Praaq menjalankan rondaan di kawasan yang ditetapkan bagi menahan pemburu haram, terutama mereka yang memburu Harimau Malaya.
Sejak 2014, pasukan ronda WWF berjaya memusnahkan hampir 1,400 perangkap di samping membebaskan 269 haiwan yang terperangkap.
Mark seterusnya turut memuji usaha gigih Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar memperjuangkan usaha pemuliharaan Harimau Malaya sejak beliau menerajui kementerian itu.
Nasib haiwan itu mula mendapat perhatian ramai baru-baru ini susulan kemunculan seekor harimau yang merayau-rayau di Kampung Besul, Bukit Besi in Dungun, Terengganu pada 18 Julai lepas.
BACA: 'Awang Besol' sudah tiada
Harimau itu ditangkap oleh Perhilitan, namun ia mati tidak lama kemudian, dan ujian RT-PCR mengesahkan ia mati akibat diserang Virus Canine Distemper.
-- BERNAMA
#haiwan hutan #harimau Malaya #hutan malaysia #pemburu haram #populasi harimau #WWF
;