Pemburu haram: Cadangan hukuman denda RM1 juta, penjara 15 tahun

Bernama
Ogos 19, 2020 19:05 MYT
Ketua Pengarah PERHILITAN Datuk Abdul Kadir Abu Hashim (kanan) semasa sidang media berkenaan Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) di Paya Indah Wetland hari ini. - BERNAMA
Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) mencadangkan hukuman lebih berat terhadap pemburuan haram melibatkan denda maksimum RM1 juta dan penjara sehingga 15 tahun bagi membanteras kegiatan itu.
Ketua Pengarahnya Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata cadangan meningkatkan hukuman itu daripada denda maksimum RM500,000 dan penjara lima tahun sekarang akan melibatkan pindaan terhadap Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).
"Jika tiada apa-apa halangan, kita akan bawa masuk pindaan akta (ke Parlimen) pada hujung tahun ini," katanya pada sidang media selepas menghadiri mesyuarat Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) yang bertujuan melindungi hidupan liar dan pemuliharaan hutan, di sini, hari ini.
Turut hadir, Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador, Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Datuk Abdul Latif Abdul Kadir dan Timbalan Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia (Operasi dan Teknikal), Mohd Rahim Rani.
Abdul Kadir berkata kes pemburuan haram semenjak 10 tahun lepas membabitkan orang tengah warga tempatan, manakala pemburu haram pula kebanyakannya 'orang luar' dari Vietnam, Thailand dan Kemboja yang biasanya masuk ke hutan selama 90 hari untuk memasang jerat.
"Masalahnya orang tengah itu adalah orang Malaysia yang menyusun atur kemasukan mereka dari sempadan," katanya.
Abdul Kadir berkata sebanyak 12 operasi berkaitan pemburuan haram telah dijalankan tahun ini sehingga Ogos lepas dan 43 kertas siasatan telah dibuka atas pelbagai kesalahan jenayah membabitkan 86 pesalah serta nilai sitaan sebanyak RM1.37 juta.
Daripada 86 pesalah itu, ia membabitkan 62 warga tempatan, Indonesia (9), Kemboja (7) dan masing-masing empat individu dari Vietnam dan Sudan, katanya.
Dalam tempoh OBK dilaksanakan antara 3 Sept tahun lalu dan Ogos tahun ini, Abdul Kadir berkata antaranya sebanyak 543 jerat telah dimusnahkan, 76 khemah pendatang tanpa izin dikesan dan 16 kes tebangan pokok karas dikesan.
Menurutnya, satu kejayaan pelaksanaan OBK ialah penahanan seorang suspek yang sangat dikehendaki dan aktif dalam pemburuan gajah, harimau dan spesies hidupan liar lain di Jerantut, Pahang, pada 10 Julai lalu.
"Dia akan potong gading gajah dan hantar ke negara jiran. Suspek ditahan di Jerantut tapi dia banyak bergerak di Kelantan dan Perak," katanya, serta menambah bahawa suspek adalah warga tempatan yang dipercayai telah 'menumbangkan' 10 ekor gajah.
Sementara itu, Mohd Rahim berkata Jabatan Perhutanan akan bekerjasama dengan masyarakat Orang Asli bagi menjadi 'mata dan telinga' untuk menyalurkan maklumat berhubung pemburuan haram.
Menurutnya, tindakan pemburu haram memasuki hutan simpan adalah satu kesalahan dan kini terdapat pula kes 'menanda pokok' di lokasi hutan simpan dipercayai untuk jualan.
-- BERNAMA
#Abdul Kadir Abu Hashim #denda maksimum #hukuman berat #Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara #pemburu haram #penjara #Perhilitan
;