Pemburu Botak Chin meninggal dunia, DSP Kenneth James hembus nafas terakhir pada usia 89 tahun
Astro Awani
Mei 23, 2022 17:48 MYT
Mei 23, 2022 17:48 MYT
KUALA LUMPUR: Pegawai kanan polis yang terbabit dalam memburu penjenayah Botak Chin, pesara Deputi Superintendan (DSP) Kenneth James Woodworth menghembuskan nafas terakhir di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) di sini, pada Ahad.
Mendiang meninggal dunia akibat sakit tua pada usia 89 tahun.
Kenneth James merupakan antara 12 pegawai Cawangan Jenayah Berat, Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur yang dipilih khas menganggotai kumpulan dinamakan ‘Magnificient 12’.
‘Magnificient 12’ ditubuhkan pada ketika itu bagi memburu penjenayah yang dikehendaki, Wong Swee Chin atau lebih dikenali sebagai Botak Chin.
Dalam perkongsian berita duka itu di laman Facebok rasmi Polis Diraja Malaysia (PDRM), Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani dan timbalan beliau, Datuk Razarudin Husain serta seluruh warga PDRM menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mendiang.
"Jasad mendiang akan dibawa ke Gereja Holy Rosary di sini pada hari ini dan esok bermula 9 pagi sehingga 9.30 malam untuk penghormatan terakhir.
"Sesungguhnya jasa dan bakti yang dicurahkan beliau akan sentiasa dikenang sepanjang zaman dan pemergiannya adalah satu kehilangan besar buat pasukan serta negara," menurut kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook itu.
Mendiang Kenneth menyertai PDRM pada Mei 1953 dan bersara pada April 1988.
Kejayaan Kenneth dan pasukannya memerangai jenayah dilakukan Botak Chin mendapat perhatian seluruh negara sekitar tahun 1970-an.
Botak Chin merupakan penjenayah yang terlibat dalam banyak kejadian rompakan secara besar-besaran di sekitar Lembah Klang.
Sementara itu, wartawan Syahril A. Kadir dalam catatan di Facebooknya menulis, sejak dua tahun lalu, mendiang Kenneth membuat keputusan untuk menghabiskan masa di sebuah rumah penjagaan warga tua persendirian di pinggir ibu kota.
Mendiang Kenneth yang mempunyai masalah buah pinggang, tulis Syahril, memilih untuk menghabiskan sisa-sisa usianya di rumah penjagaan itu selepas kematian isterinya, Joan Sylvia Maureen.