Pembunuhan Zayn Rayyan: 4 kenderaan forensik tiba, polis periksa rumah ke rumah
Hasimi Muhamad
Disember 12, 2023 21:14 MYT
Disember 12, 2023 21:14 MYT
PETALING JAYA: Sekurang-kurangnya empat kenderaan Unit Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) dilihat sekali lagi tiba di Blok R, Apartment Idaman, Damansara Damai malam ini.
Kenderaan tersebut dilapor memasuki pekarangan blok berkenaan kira-kira pukul 7.55 malam, iaitu hampir dua jam selepas Unit Anjing Pengesan (K9) meninggalkan blok sama pada jam 5.45 petang.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan ketika dihubungi media berkata, kehadiran Unit Forensik adalah bagi melakukan pemeriksaan rumah ke rumah malam ini.
Jelas beliau, pemeriksaan itu adalah bagi mengesan dan mengumpul lebih banyak bukti yang boleh membantu siasatan.
“Unit Forensik dan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) akan terlibat dalam pemeriksaan rumah ke rumah malam ini,” katanya ketika dihubungi, malam ini.
Terdahulu, anggota Unit K9 dilihat tiba di lokasi dan mula membuat pemeriksaan di Blok R, yang merupakan kediaman mangsa kira-kira pukul 5.10 petang.
Selepas kira-kira 25 minit, kumpulan anggota polis bersama anjing pengesan dilihat selesai menjalankan pemeriksaan sebelum meninggalkan lokasi.
Pada 6 Disember lalu, mayat Zayn Rayyan ditemui di saliran air berdekatan takungan air 200 meter dari rumahnya di Apartmen Idaman, kira-kira pukul 10 malam.
Kematian Zayn Rayyan kemudian diklasifikasi sebagai kes bunuh selepas bedah siasat menemukan kecederaan pada leher dan badan kanak-kanak itu.