Pembunuhan Siti Soffea ada kaitan dengan dadah?

Aizat Sharif
Jun 2, 2014 16:25 MYT
SAC Gan: Siasatan polis mendapati suspek merupakan seorang penagih dadah.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, SAC Gan Kong Ming hari ini mengesahkan suspek kes bunuh dan kelar kanak-kanak Siti Soffea Emelda Khamis lalu adalah seorang lelaki berketurunan India dan berusia lewat 30an, selain disyaki seorang penagih dadah.
"Semasa pemeriksaan ke atas pakaian mayat yang dipercayai suspek kes tersebut yang ditemui terapung di Sungai Kelang berhampiran Plaza Tol Sunway, polis menemui satu peket kecil plastik lutsinar yang mengandungi daun-daun kering disyaki ganja," katanya dalam satu kenyataan media.
Ketika ditanya sama ada ada kemungkinan pembunuhan ada kaitan dengan masalah penjualan dadah di penjara atau sekiranya suspek berada di bawah pengaruh dadah selain dari ganja ketika kejadian, Gan berkata polis sedang menyiasat segala kemungkinan.
Apa yang diketahui setakat ini, fizikal suspek adalah konsisten dengan kenyataan oleh saksi-saksi yang mendakwa melihat suspek membawa kanak-kanak malang terbabit dan mencederakan mangsa di tebing Sungai Klang berhampiran stesen bas Klang lama.
Ia juga konsisten dengan pemeriksaan pihak polis terhadap rakaman kamera litar tertutup atau CCTV yang diperolehi dari Plaza Kota Raya tempat dimana Siti Soffea Emelda dikatakan diculik.
Katanya lagi keadaan fizikal, wajah dan pakaian adalah juga konsisten dengan tubuh lelaki yang ditemui di Sungai Klang berhampiran Tol Plaza Sunway pada petang Sabtu.
Sehingga hari ini, polis telah merekodkan 10 kenyataan daripada saksi termasuk ibu kanak-kanak itu, Siti Salmy Suib.
Post mortem terhadap Soffea Emelda telahpun selesai pada 11 pagi 30 Mei lalu.
Didapati punca kematian Siti Soffea Emelda adalah akibat trauma kesan dari pukulan di kepala, yang juga konsisten dengan kenyataan saksi yang mengatakan kanak-kanak itu dilihat dipukul oleh suspek dengan sejenis objek. Adalah dilaporkan polis sebelum ini menemui cebisan seramik dengan kesan darah di lokasi kejadian.
Bagaimanapun maklumat lengkap latar belakang suspek masih belum diperolehi pihak polis, dan kini sedang mendapatkan pengesahan cap jari dari Jabatan Pendaftaran Negara dan Pusat Pendaftaran Jenayah.
Sementara itu, bekas Penolong Pengarah Jabatan Pengurusan Bukit Aman, ACP Razimi Ahmad kini menjadi Ketua Polis Daerah Serdang yang baru.
Beliau yang telah berkhidmat dengan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) semenjak 1982 telah menggantikan ACP Abd Razak Elias yang telah dilantik sebagai Ketua Jabatan Logistik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor bermula pada bulan ini.
Jawatan tersebut sebelum itu dipangku oleh Timbalan Ketua Polis Daerah Serdang, Supt Yong Sook Kun sebelum diserahkan secara rasminya kepada Razimi dalam satu Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polsi Daerah Serdang di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang di Bandar Kinrara sambil disaksikan oleh Ketua Polis Selangor, Datuk Abdul Samah Mat.
#kelar #Pembunuhan #Siti Soffea
;