Pembunuhan oleh Israel, sekatan bantuan ancam gencatan senjata di Gaza
Bernama
Februari 11, 2025 13:45 MYT
Februari 11, 2025 13:45 MYT
Israel sengaja menyekat bantuan dan usaha pembinaan semula bagi memaksa rakyat Palestin keluar dari Gaza. - Gambar/ AP
RAMALLAH (Palestin): Seorang pegawai Palestin memberi amaran pada Isnin bahawa perjanjian gencatan senjata di Gaza serta pertukaran tahanan berisiko terjejas, lapor Anadolu Ajansi.
"Terdapat risiko tinggi gencatan senjata di Gaza akan terjejas akibat tiga pelanggaran yang dilakukan Israel," kata Mustafa Barghouti, Setiausaha Agung Inisiatif Nasional Palestin (PNI) menerusi platform X.
Beliau menggariskan tiga pelanggaran utama, bermula dengan serangan Israel yang berterusan terhadap rakyat Palestin di Gaza, mengorbankan 25 nyawa sejak gencatan senjata berkuat kuasa pada 19 Jan.
Pelanggaran kedua, katanya, ialah sekatan berterusan Israel terhadap bantuan kemanusiaan, termasuk keengganan membenarkan kemasukan khemah dan tempat perlindungan yang sepatutnya dihantar ke Gaza mengikut perjanjian itu.
"Ketiga, (Perdana Menteri Israel Benjamin) Netanyahu dan Presiden Amerika (Donald) Trump mencetuskan kemarahan seluruh rakyat Palestin dengan kenyataan berulang kali mengenai niat mereka untuk melakukan pembersihan etnik di Semenanjung Gaza, yang mendapat kecaman serta penolakan antarabangsa secara meluas," katanya.
Pada malam Isnin, sayap ketenteraan Hamas Briged Al-Qassam mengumumkan penangguhan pembebasan tawanan Israel yang dijadualkan pada Sabtu, dengan alasan pelanggaran berterusan Israel terhadap perjanjian gencatan senjata.
Walaupun terdapat gencatan senjata, tentera Israel terus melakukan serangan hampir setiap hari menggunakan dron di pelbagai kawasan di Gaza, menyebabkan korban nyawa termasuk kanak-kanak dan warga emas.
Pada Jumaat, ketua Pejabat Media Kerajaan di Gaza Salama Maarouf berkata hanya 8,500 trak bantuan memasuki Gaza sejak 19 Jan, jauh lebih rendah daripada 12,000 yang dijanjikan.
Bercakap dalam sidang media di Bandar Gaza, Maarouf menjelaskan bahawa perjanjian gencatan senjata memperuntukkan kemasukan harian 600 trak bantuan, termasuk 50 trak bahan api, selain 60,000 unit tempat perlindungan bergerak, 200,000 khemah, panel solar, penjana elektrik serta peralatan untuk membersihkan runtuhan dan memulihkan infrastruktur asas.
Laporan media Israel menunjukkan bahawa kerajaan Netanyahu sengaja menyekat bantuan dan usaha pembinaan semula bagi memaksa rakyat Palestin keluar dari Gaza, seiring dengan rancangan Trump yang dilaporkan mahu menguasai wilayah itu dan mengusir penduduknya.
-- BERNAMA