Pembunuhan Nuraina Humaira: KPWKM beri khidmat sokongan, kaunseling kepada keluarga

Bernama
Ogos 27, 2024 17:05 MYT
Nancy Shukri berkata KPWKM hanya mampu memberikan khidmat sokongan itu kepada ahli keluarga mangsa memandangkan siasatan kes sedang berlangsung. - Foto Bernama
KUCHING: Khidmat kaunseling akan diberikan kepada keluarga Allahyarham Nuraina Humaira Rosli, seorang kanak-kanak orang kelainan upaya (OKU) yang dipercayai mati dibunuh di perkampungan Orang Asli Kampung Bersah, Pos Kuala Mu, Perak 16 Ogos lepas.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Nancy Shukri berkata setakat ini Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat (KPWKM) hanya mampu memberikan khidmat sokongan itu kepada ahli keluarga mangsa memandangkan siasatan kes sedang berlangsung.
"Mengenai kaunseling untuk keluarga yang terlibat, adalah menjadi kebiasaan untuk memberi masa kepada keluarga mencari ketenangan sebelum mendekati mereka agar tidak membebankan mereka dengan interaksi luar.
"Pendekatan ini selaras dengan prosedur biasa yang menekankan pemberian ruang kepada keluarga untuk memproses kejadian sebelum memperkenalkan langkah sokongan tambahan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Nuraina Humaira, 10, yang cacat pendengaran serta lembam dilaporkan hilang pada 16 Ogos lepas dan mayatnya ditemui dua hari kemudian di kawasan berpaya di perkampungan Orang Asli Kampung Bersah, Pos Kuala Mu, Perak.
Seorang remaja lelaki berusia 17 tahun telah ditahan pada 18 Ogos lepas berhubung kes itu dan diperintahkan sebuah Mahkamah Majistret di Sungai Siput, Perak untuk direman selama tujuh hari bagi membolehkan polis melakukan siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
-- BERNAMA
#pembunuhan Nuraina Humaira #kanak-kanak orang kelainan upaya #Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat #Nancy Shukri
;