Pembunuhan Kim Jong Nam: Polis tahan suspek pertama warga Vietnam - KPN
Harits Asyraf Hasnan
Februari 15, 2017 18:00 MYT
Februari 15, 2017 18:00 MYT
Polis hari ini menahan seorang wanita warga negara Vietnam yang dipercayai suspek pembunuhan Kim Jong Nam, abang tiri kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar yang mengesahkan perkara tersebut berkata tangkapan ke atas suspek dengan nama ‘Doan Thi Huong’, berusia 29 tahun dilakukan pukul 8.20 pagi tadi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2).
"Suspek secara positif dikenal pasti menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan berseorangan ketika ditahan," katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.
Jelasnya, siasatan kes tersebut masih dilakukan dan sebarang tindakan terhadap suspek akan dibuat mengikut lunas undang-undang.
Tindakan itu susulan usaha polis yang mengesan dua wanita dipercayai terlibat dengan pembunuhan Kim Jong Nam.
Ketua Polis Selangor, Datuk Abdul Samah Mat dilaporkan berkata, wanita berkenaan dikatakan menyerkup muka Jong Nam dengan kain dipercayai mengandungi cecair beracun sebelum melarikan diri.
#dibunuh di KLIA
#dibunuh di Malaysia
#Khalid Abu Bakar
#kim jong nam
#Kim Jong-un
#Pemimpin Korea Utara
#polis Malaysia