Pembunuhan Kim Jong Nam: Polis siasat bagaimana senjata kimia dibawa masuk

Tan Su Lin
Februari 24, 2017 10:49 MYT
KHALID: Bahan kimia ini adalah bahan kimia yang diharamkan kerana ia adalah senjata kimia. - Foto Astro AWANI / SHAHIR OMAR
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata pihaknya sedang menyiasat bagaimana bahan kimia jenis 'Agen Saraf VX' yang telah diharamkan, berjaya dibawa masuk ke Malaysia.
Bahan kimia yang dikategorikan sebagai senjata kimia itu digunakan dalam kes pembunuhan Kim Jong Nam, abang kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un.
"Bahan kimia ini adalah bahan kimia yang diharamkan kerana ia adalah senjata kimia. Kita akan siasat bagaimana ia masuk (ke dalam negara) tetapi kalau yang masuk dalam jumlah yang sedikit agak sukar untuk siasat," katanya ketika ditemui pemberita di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) hari ini.
Ditanya sama ada bahan kimia tersebut dihasilkan dalam negara atau diseludup masuk, ujar beliau, perkara itu masih tidak dapat dipastikan buat masa ini.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan pagi tadi, analisis Jabatan Kimia Malaysia sahkan bahan yang ditemui jenis 'Agen Saraf VX' atau VX Nerve Agent.
BACA: Pembunuhan Kim Jong Nam: 'Agen Saraf VX' dikenalpasti - Khalid
Ia dikategorikan senjata kimia dalam Jadual 1, Akta Konvensyen Senjata Kimia Malaysia 2005 dan Konvensyen Senjata Kimia 1997.
Dalam pada itu, Khalid menafikan dakwaan bahawa waris Kim Jong Nam berada dalam negara dan pihak berkuasa masih menunggu waris terdekat untuk proses bedah siasat.
"Kami tidak akan menghantar pasukan ke Macau. Kami akan menunggu waris mangsa untuk mengecam mayat dan mengambil DNA waris untuk pengesahan," katanya.
Ditanya sama ada pembunuhan bermotif politik, ujar beliau masih terlalu awal untuk membuat kesimpulan berkenaan.
#Agen Saraf VX #Khalid Abu Bakar #kim jong nam #senjata kimia #VX nerve agent
;