Pembunuhan Jong Nam: Tuduhan Duta Korea Utara bersandarkan pembohongan - Anifah
Astro Awani
Februari 20, 2017 22:15 MYT
Februari 20, 2017 22:15 MYT
Tuduhan Duta Besar Korea Utara di Malaysia, Kang Chol yang memberi gambaran bahawa kerajaan Malaysia mempunyai 'sesuatu untuk disembunyikan' dalam pengendalian kes kematian seorang warga Korea Utara pada 13 Feb lalu hanya bersandarkan khayalan, pembohongan dan perkara yang hanya separuh benar.
Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman menegaskan, dakwaan Malaysia 'berpakat dan bersekongkol dengan kuasa-kuasa luar itu menjadi asas kepada kesimpulan Kang Chol bahawa 'penyiasatan tersebut didalangi oleh pihak yang berada di sebalik tabir' dan 'penyiasatan yang dikendalikan bukan bertujuan untuk mendapat tahu punca kematian dan untuk mencari suspek, tetapi bermotifkan politik.'
"Apabila Duta Besar dipanggil (summoned) oleh Kementerian Luar Negeri, Timbalan Ketua Setiausaha bagi Hal-Ehwal Dua Hala telah menekankan bahawa penyiasatan tersebut telah dijalankan tanpa memihak kepada sesiapa. Ia juga telah dijalankan mengikut undang-undang serta peraturan-peraturan Malaysia.
"Apa juga tohmahan yang dibuat yang menyangkal hakikat ini, ataupun apa juga tohmahan bahawa Malaysia bersekongkol dengan mana-mana negara asing merupakan penghinaan yang amat besar terhadap Malaysia.
"Penyiasatan polis tersebut adalah berdasarkan kesemua petunjuk (leads) yang ada. Petunjuk-petunjuk ini akan disiasat sepenuhnya. Petunjuk-petunjuk tersebut mungkin melangkau dan di dalam sesetengah kes, tidak ada hubung kait dengan maklumat yang diberi pihak kedutaan mahupun entiti-entiti lain," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Sebelum ini, Wisma Putra menekankan bahawa memandangkan kematian itu berlaku di Malaysia dalam keadaan yang mencurigakan, maka adalah menjadi tanggungjawab kerajaan Malaysia untuk menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kematian.
Wisma Putra menjelaskan, penyiasatan kes itu telah dilaksanakan mengikut tatacara yang ditetapkan di bawah undang-undang Malaysia.
Jelas Wisma Putra, Kedutaan Besar Korea Utara turut dimaklumkan bahawa kematian itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan proses bedah siasat perlu dijalankan.
Dalam pada itu kata Anifah, di mana-manapun negara yang bertamadun, adalah menjadi amalan bahawa kes sedemikian rupa akan disiasat secara komprehensif.
"Adalah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk berbuat demikian. Pihak awam juga akan menuntut perkara yang sama. Oleh yang demikian, maklumat kepada umum telah diberi apabila perlu.
"Adalah juga menjadi kelaziman bagi pihak kedutaan untuk bekerjasama sepenuhnya dengan kerajaan negara hos untuk memastikan bahawa penyiasatan yang dijalankan adalah serapi mungkin, dan bukannya untuk menimbulkan syak-wasangka terhadap penyiasatan tersebut," jelasnya.
Pada 13 Feb, Jong Nam, yang hidup terasing daripada adiknya, berada di Lapangan Terbang Antarabangsa KL 2 (klia2) pada 8 pagi untuk menaiki penerbangan ke Macau apabila seorang wanita tiba-tiba menekup mukanya dengan kain mengandungi cecair yang dipercayai racun.
Jong Nam, yang menggunakan pasport atas nama Kim Chol, meminta bantuan di kaunter khidmat pelanggan di klia2 dan segera dibawa ke Hospital Putrajaya tetapi meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital.