Pembunuhan Jong Nam: Rakyat Malaysia dinasihatkan tidak ke Korea Utara
Bernama
Februari 23, 2017 22:21 MYT
Februari 23, 2017 22:21 MYT
Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz menasihati rakyat Malaysia agar tidak ke Korea Utara buat masa ini berikutan kes pembunuhan Kim Jong-nam.
"Saya sarankan rakyat Malaysia jangan pergi ke sana (Korea Utara), sebab kita tidak tahu apa yang mungkin berlaku di sana.
"Kita tidak tahu, apa-apa saja boleh berlaku sebab negara ini negara yang tidak boleh dijangka, mereka boleh buat apa sahaja di luar jangkaan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Perasmian Hari Kraf Kebangsaan 2017, di sini hari ini.
Bagaimanapun katanya kes pembunuhan abang pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un itu tidak menjejaskan kemasukan pelawat Korea Utara ke Malaysia.
Mohamed Nazri berkata kebanyakan pelancong Korea Utara terdiri daripada pegawai-pegawai negara itu yang masuk ke Malaysia atas urusan rasmi.
"Rakyat mereka tidak dibenarkan untuk keluar dari negara mereka, apatah lagi ke Malaysia....jadi memang tidak terjejas pun kemasukan mereka ke negara kita," katanya.
Mohamed Nazri turut berpendapat Korea Utara tidak boleh bersikap terburu-buru dalam mengendalikan kes pembunuhan melibatkan warganegaranya di negara ini.
"Kita ada undang-undang, mereka tidak boleh buat sesuka hati mereka dan mesti patuhi undang-undang antarabangsa.
"Kami tidak akan serahkan mayat selagi proses bedah siasat belum selesai. Jangan paksa kami," katanya.
Pada 13 Feb lalu, Kim Jong-nam berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) sementara menunggu penerbangannya ke Macau apabila seorang wanita menekup mukanya dengan sehelai kain yang dipercayai mengandungi cecair beracun.
Beliau yang dilaporkan mati ketika dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya menggunakan nama Kim Chol pada pasportnya serta dipercayai tiba di Malaysia dari Macau pada 6 Feb lalu.
-- BERNAMA