Pembunuhan Jong-nam mungkin bermotif politik
Wan Syamsul Amly
Ogos 16, 2018 14:09 MYT
Ogos 16, 2018 14:09 MYT
Mahkamah Tinggi di sini tidak menolak kemungkinan pembunuhan warga Korea Utara, Kim Chol atau Kim Jong-nam pada Februari 2017 mempunyai motif politik.
Hakim Datuk Azmi Ariffin dalam penghakimannya berkata tidak ada keterangan yang jelas oleh pihak pendakwaan mengenai motif sebenar kejadian itu.
"Pegawai penyiasat memberi keterangan bahawa Jong Nam juga dikenali sebagai Kim Chol telah bertemu dengan seorang lelaki Amerika Syarikat (AS) di Langkawi lima hari sebelum pembunuhan itu.
"Bagaimanapun, polis gagal memastikan identiti orang AS dan motif pertemuan mereka.
"Oleh itu, saya tidak boleh menolak bahawa ini mungkin pembunuhan bermotif politik. Bukti di televisyen litar tertutup menunjukkan bahawa ia (pembunuhan) sistematik," katanya semasa alasan penghakimannya di sini, hari ini.
INFOGRAFIK: Siapa Kim Jong-Nam?
Siti Aisyah, 26 tahun, dan Doan Thi Huong, 29 tahun, didakwa bersama empat lagi yang masih bebas membunuh Kim Chol, 45 tahun, di Balai Berlepas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2), pada jam 9 pagi, 13 Februari 2017.
Empat lelaki Korea Utara yang masih bebas itu dikenali sebagai Mr. Chang atau nama sebenarnya Hong Song Hac, 34 tahun; Mr. Y (Ri Ji Hyon), 33 tahun; Hanamori (Ri Jae Nam), 57 tahun, dan James atau O Jong Gil, 55 tahun.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori.
Jong-nam dilaporkan berada di klia2 pada 13 Februari untuk menaiki penerbangan ke Macau apabila dua wanita mendekatinya lalu menyapu mukanya dengan cecair toksik yang kemudiannya dikenal pasti sebagai agen saraf VX.
Jong-nam, yang memiliki pasport tertera bernama Kim Chol meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya.
#doan thi huong
#Hakim Datuk Azmi Ariffin
#Kim Chol
#Kim Jong-nam
#Korea
#Korea Utara
#meninggal dunia
#siti aisyah