Pembunuhan Jong Nam: Malaysia sedia kongsi maklumat selepas siasatan, pendakwaan selesai - TPM
Harits Asyraf Hasnan
Februari 28, 2017 19:57 MYT
Februari 28, 2017 19:57 MYT
Malaysia sedia berkongsi maklumat siasatan pembunuhan Kim Jong Nam kepada badan perisikan dunia selepas Polis DiRaja Malaysia (PDRM) selesai membuat siasatan dan kes itu disebut di Mahkamah.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, Malaysia akan memastikan maklumat yang dikongsikan itu merupakan hasil siasatan terperinci melibatkan polis, Kementerian Kesihatan, Jabatan Kimia dan Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB).
"Perkongsian maklumat dari dapatan yang dilakukan terhadap penyiasatan meliputi empat aspek iaitu DNA, forensik, laporan kimia dan bahan bukti daripada video kamera litar tertutup (cctv) berdefinisi tinggi.
"Empat aspek ini kita boleh kongsikan dengan badan perisikan antarabangsa dan boleh diguna pakai oleh badan di bawah Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) setelah pihak PDRM menyelesaikan siasatan dan siasatan itu mesti konklusif," katanya pada sidang media selepas menyempurnakan penutupan Multaqa Pendidikan dan Sosial, Majlis Perundingan Islam (MPI) di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) di sini hari ini.
Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, mana-mana pihak yang berhasrat untuk masuk campur siasatan tersebut perlu menghormati proses penyiasatan dan sistem kehakiman yang dijalankan di negara ini.
"Jadi pihak Malaysia di samping terbuka untuk berkongsi, mereka harus menghormati sistem dan perundangan Malaysia untuk menyimpan bukti-bukti berkenaan sehingga pendakwaan dan juga mahkamah menetapkan prosedur perundangan itu telah berjalan dan sistem perundangan itu dimuktamadkan melalui sistem kehakiman yang berada di negara kita ini.
Katanya, polis telah mengesan pergerakan rakyat Korea Utara di Malaysia sejak dua bulan sebelum Kim Jong Nam mati diracun .
Namun, Ahmad Zahid tidak menyatakan secara terperinci berkenaan bidang pekerjaan dan perniagaan yang dilakukan rakyat Korea Utara di negara ini.
"Daripada siasatan yang kita lakukan melalui PDRM, mereka (suspek pembunuhan Jong Nam) disyaki telah memulakan operasi ini kira-kira dua bulan sebelum peristiwa (pembunuhan) itu berlaku.
"Tindakan dilakukan setelah kita dapati bahawa usaha melakukan jenayah yang dirakamkan melalui CCTV di lapangan terbang itu membuktikan bahawa hiduan siasatan selama ini adalah benar," katanya.
Jelas Ahmad Zahid, risikan itu menyebabkan polis berjaya menahan suspek utama pembunuhan Jong Nam kurang 24 jam selepas pembunuhan dilakukan.