Pembunuhan Ismail Haniyeh: Tindakan paling terkutuk, cubaan gagalkan gencatan senjata - PM Anwar

Firdaus Azil
Julai 31, 2024 09:44 MYT
Perdana Menteri mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan tersebut, yang jelas telah merencatkan perancangan untuk menghentikan penindasan di Gaza. - Gambar fail
PUTRAJAYA: Pembunuhan Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh merupakan perbuatan yang terkutuk dan paling keji, direka untuk mengagalkan perbincangan gencatan senjata, tegas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dalam satu kenyataan pada Selasa, beliau mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan tersebut, yang jelas telah merencatkan perancangan untuk menghentikan penindasan di Gaza yang sehingga kini telah meragut 40,000 nyawa rakyat Palestin.
Tegasnya lagi, hanya mereka yang tiada sifat kemanusiaan sahaja akan melihat tiada keperluan untuk meningkatkan tekanan ke atas rejim Israel untuk menghentikan kegilaan membunuh rakyat Palestin.
“Rakyat Palestin telah dihadapkan dengan malapetaka dan penderitaan selama berdekad lamanya, dan saya amat bimbang tentang nasib mereka susulan pembunuhan saudara Ismail.
“Mereka yang telah mengkritik saya saat ketemu saudara Ismail sebelum ini telah gagal menghargai keinginan mendalam almarhum untuk sebuah Timur Tengah yang aman dan pembentukan sebuah negara Palestin yang tertegak dengan maruah dan kebebasan," katanya.
Perdana Menteri berkata, beliau berduka dan meratapi pemergian seorang sahabat yang akrab, serta tokoh pejuang sejati rakyat Palestin.
Dalam pada itu Perdana Menteri turut berkongsikan rakaman perbualan beliau bersama Anggota Biro Politik Hamas, Dr Basem Naim.
Anwar berkata pemakluman itu diterima sewaktu beliau mempengerusikan mesyuarat Kabinet di Putrajaya pada Rabu, dan seluruh Jemaah Menteri terkejut dengan kegilaan rejim Zionis Israel yang menganggap perang dan keganasan ini boleh berakhir dengan cara menyerang dan menyeksa rakyat Palestin.
Selain itu beliau memberitahu Basem bahawa Malaysia akan tetap teguh menyokong perjuangan untuk membentuk Palestin sebagai negara yang bebas dan merdeka, dan berikrar untuk merealisasikan hasrat itu sebaik mungkin.
Basem berkata Hamas dan rakyat Palestin mempunyai kepercayaan terhadap rakyat Malaysia, khususnya Anwar sendiri, yang sentiasa lantang dalam menyokong perjuangan mereka.
Dalam perbualan tersebut, Anwar turut menyampaikan pandangannya bahawa serangan tersebut adalah satu perancangan untuk menggagalkan perjanjian damai yang sangat didambakan oleh rakyat Palestin.
“Saya pernah bercakap dengan saudara Ismail melalui telefon dan bertemu dengannya di Doha, kami berhubung dengan beberapa rakan kami. Beberapa hari yang lalu, maklumat terkini dari saudara-saudara kita di Turki, dan jelas bahawa saudara Almarhum Ismail adalah tonggak perjuangan ini.
“Dan salah satu hal yang diperjuangkan adalah perjanjian damai bagi mengembalikan hak rakyat Palestin. Jelas ada unsur sabotaj. Mereka tidak mahu perjanjian damai ini berjaya,” katanya lagi.
Sambil mengucapkan penghargaan kepada Malaysia dan Anwar, Basem berkata: “Saya percaya ini adalah kehilangan besar bukan hanya kepada rakyat Palestin, tetapi buat seluruh umat manusia yang bermaruah dan merdeka di seluruh dunia”.
#pembunuhan Ismail Haniyeh #Kekejaman zionis #Anwar Ibrahim #gencatan senjata