Pembunuhan Ismail Haniyeh: PN seru kerajaan panggil segera Mesyuarat Khas Dewan Rakyat - Muhyiddin

Ridauddin Daud
Julai 31, 2024 11:33 MYT
Susulan pembunuhan pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh, Perikatan Nasional (PN) menggesa kerajaan segera memanggil Mesyuarat Khas Dewan Rakyat bagi menyatakan ketetapan tegas Malaysia dalam konflik Palestin.
KUALA LUMPUR: Susulan pembunuhan pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh, Perikatan Nasional (PN) menggesa kerajaan segera memanggil Mesyuarat Khas Dewan Rakyat bagi menyatakan ketetapan tegas Malaysia dalam konflik Palestin.
Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, insiden terhadap Ismail merupakan jenayah tidak berperikemanusiaan, terkutuk lagi terkeji yang wajib dikecam sekeras-kerasnya.
Menerusi kenyataan di Facebook beliau, Ahli Parlimen Pagoh itu menegaskan serangan rejim Zionis itu juga merupakan satu lagi tindakan bacul Israel dalam siri genosid ke atas rakyat Palestin.
“Seluruh keluarga besar pimpinan, penyokong dan akar umbi Perikatan Nasional mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama para syuhada serta orang-orang yang soleh.
“Perikatan Nasional mengucapkan takziah kepada ahli keluarga Allahyarham dan seluruh rakyat Palestin atas kehilangan pemimpin mereka yang syahid di jalan Allah,” tulis beliau.
Katanya lagi, PN akan terus berdiri teguh bersama rakyat Palestin dalam perjuangan membebaskan tanah air mereka daripada cengkaman rejim Zionis.
#Muhyiddin Yassin #Perikatan Nasional #PN #Dewan Rakyat #Zionis #Ismail Haniyeh