Pembunuhan Ismail Haniyeh: Kenyataan tegas, himpunan sudah cukup nyata ketegasan Malaysia - PM

Ridauddin Daud
Ogos 1, 2024 11:51 MYT
Perdana Menteri ketika bertemu pengamal media selepas hadir pada majlis bacaan Yasin, tahlil dan doa selamat sempena Sambutan Hari Pahlawan Tahun 2024 di Masjid Negara hari ini. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Kenyataan tegas daripada Kementerian Luar dan Jemaah Menteri sudah cukup membuktikan ketegasan Malaysia dalam mengutuk pembunuhan pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh.

Ringkasan AI
  • Ketegasan Malaysia: Kementerian Luar dan Jemaah Menteri telah mengeluarkan kenyataan tegas mengutuk pembunuhan pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh. Perhimpunan Solidariti Palestin yang akan diadakan juga menunjukkan ketegasan negara dalam isu ini.
  • Respons Perdana Menteri: Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan bahwa tindakan ini mencerminkan pendirian Malaysia yang mengutuk pembunuhan pemimpin Hamas dengan keras. Perhimpunan pada Ahad dijadikan sebagai medium untuk menyampaikan mesej solidariti.
  • Perincian Perhimpunan: Perhimpunan Solidariti Palestin akan berlangsung pada Ahad pukul 8 malam. Ini sebagai tanda solidariti selepas pembunuhan Ismail Haniyeh dan perang di Gaza yang berlarutan sejak 10 bulan lalu.

Perdana Menteri berkata, Himpunan Solidariti Palestin yang akan diadakan pada Ahad ini juga membuktikan negara benar-benar tegas dalam isu tersebut.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tiga aspek tersebut mencerminkan pendirian Malaysia yang mengutuk sekeras-kerasnya pembunuhan pemimpin Hamas itu kepada masyarakat antarabangsa.
“Menteri Luar telah keluarkan kenyataan di Dewan Negara. Kita dah bincang dalam Kabinet, kita dah buat kenyataan yang tegas.
“Kita akan adakan perhimpunan hari Ahad dan saya ingat, cukup menyampaikan mesej,” katanya.
[LAPOR LANGSUNG]: Solat jenazah ghaib Ismail Haniyeh di tiga masjid utama malam ini - JAKIM
Perdana Menteri berkata demikian sebagai respons terhadap soalan adakah kerajaan akan memanggil Mesyuarat Khas Dewan Rakyat seperti dicadangkan Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau ditemui di Masjid Negara, Kuala Lumpur selepas selesai menyertai bacaan yasin, tahlil dan doa selamat sempena Hari Pahlawan pada Khamis.
Perdana Menteri yang tiba pada jam 5.10 petang diiringi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar dan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Himpunan Solidariti Palestin yang akan diadakan pada Ahad ini sebagai tanda solidariti bagi perjuangan pembebasan Palestin itu akan berlangsung pada pukul 8 malam.
Himpunan itu diadakan sebagai tanda solidariti selepas pembunuhan pemimpin Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh dalam satu serangan di Tehran, Iran pada Rabu dan perang di Gaza yang berlarutan sejak 10 bulan lalu.
#Anwar Ibrahim #Dewan Negara #Palestin #Ismail Haniyeh #Himpunan Solidariti Palestin #pemimpim Hamas #ketegasan Malaysia