Pembunuhan Ismail Haniyeh: "Hipokrasi Barat jijik, memualkan" - Tun Mahathir

Astro Awani
Ogos 1, 2024 17:28 MYT
Tun Mahathir menyifatkan Allahyarham Ismail sebagai seorang lelaki yang lembut tutur kata, namun memiliki hati seperti singa. - Facebook Dr Mahathir Mohamad
KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad menzahirkan perasaan sedih dan marah ke atas pembunuhan pemimpin tertinggi Hamas, Ismail Haniyeh pada Rabu.

Ringkasan AI
  • Perasaan Sedih dan Marah: Tun Dr. Mahathir menzahirkan perasaan sedih dan marah atas pembunuhan Ismail Haniyeh oleh Israel. Beliau menganggap tindakan ini sebagai peringatan tentang kekejaman rejim zionis dan hipokrisi pihak-pihak yang menyokong mereka.
  • Penghargaan terhadap Ismail Haniyeh: Tun Dr. Mahathir memuji Ismail Haniyeh sebagai seorang pemimpin yang gigih memperjuangkan pembebasan Palestin tanpa mengenal penat lelah. Beliau menghargai perjuangan Ismail sebagai contoh bagi pejuang kemerdekaan.
  • Kritikan terhadap Israel dan Media Barat: Mahathir menyifatkan Israel sebagai negara yang melakukan genosid dan mengkritik media Barat yang terus mengutuk Hamas dan Ismail sebagai pengganas. Beliau menyoroti sikap hipokrasi dan memihak terhadap Israel dalam konflik Palestin.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, tindakan itu kekal sebagai peringatan betapa hinanya Israel dan pihak-pihak yang menyokong rejim Zionis itu sebagai hipokrit dan pengganas yang sebenar.
"Saya berasa bangga dan bertuah dapat berkenalan dengan Ismail selama ini. Seorang lelaki yang lembut tutur kata, namun memiliki hati seperti singa.
"Perjuangan Ismail tanpa mengenal penat lelah dalam memperjuangkan pembebasan Palestin menentang penjajahan Israel, sesuatu yang harus diteladani setiap pejuang kemerdekaan.
"Palestin dan seluruh dunia kehilangan seorang pemimpin yang hebat dan seorang pejuang kebebasan," katanya dalam kenyataan yang disiarkan di laman sosial Facebook beliau, di sini pada Khamis.
Sambil menyifatkan Israel sebagai sebuah negara 'penyangak dan melakukan genosid' Mahathir berkata, tindakan itu membuktikan betapa sombong, kejam dan kejinya rejim Zionis itu.
[LAPOR LANGSUNG]: Solat jenazah ghaib Ismail Haniyeh di tiga masjid utama malam ini - JAKIM
Namun katanya, media Barat dan sesetengah pemimpin berterusan mengutuk Hamas dan Ismail sebagai pengganas, walhal mereka berjuang menentang Benjamin Nethanyahu, Angkatan Pertahanan Israel dan pendatang haram Yahudi yang berdekad-dekad melakukan keganasan ke atas penduduk Palestin.
"Sikap hipokrasi dan jijik Barat dan sekutu mereka itu adalah sangat memualkan. Pemimpin Barat yang bertamadun sendiri melabel Ismail, Hamas dan pejuang kemerdekaan Palestin yang lain sebagai pengganas," ujarnya.
Menurutnya, dunia Barat yang sepatutnya bergerak ke hadapan melakukan perubahan mengambil pendekatan untuk berdiam diri, malah berpihak kepada Israel menyokong kekejaman terhadap rakyat Palestin.
Bagaimanapun, Mahathir optimis menyatakan perjuangan Ismail tidak akan 'terkubur' sebaliknya yakin rakyat Palestin tidak akan membiarkan kematiannya sia-sia.
"Mereka mungkin membunuh Ismail tetapi bukan idea dan perjuangannya. Kepada keluarga Ismail Haniyeh, terimalah ucapan takziah saya atas kehilangan seorang individu luar biasa.
"Kepada Hamas dan rakyat Palestin, anda telah kehilangan seorang pemimpin yang hebat, seorang yang berani dan berpegang kepada keyakinan. Semoga Allah SWT mengampuninya, memberikannya syurga dan menempatkannya dalam kalangan orang-orang yang soleh.
"Dari sungai ke laut, Palestin akan merdeka," tambahnya.
#Hamas #pengganas #Mahathir Mohamad #Ismail Haniyeh
;