Pembunuh Along Spoon sudah keluar dari Penjara Kajang

Sinar Harian
November 16, 2023 19:29 MYT
Warden penjara mengesahkan Mohamed Ya'cob beredar dengan segera sebaik melangkah keluar dari premis terbabit. - Gambar/ Sinar Harian
KAJANG: Bekas banduan, Mohamed Ya'cob Demyati, 57, yang membunuh penyanyi era 90-an, Allahyarham Along Spoon atau Sabi'ul Malik Shafie telah keluar dari Penjara Kajang tepat jam 6 petang tadi.
Bekas anggota polis berpangkat lans koperal itu menaiki pacuan empat roda dipercayai dipandu oleh ahli keluarganya dan memecut laju meninggalkan kawasan berkenaan tanpa menghiraukan pengamal media yang sudah tiba sejak jam 4 petang.
Warden penjara tersebut mengesahkan Mohamed Ya'cob beredar dengan segera sebaik melangkah keluar dari premis terbabit.
BACA: Pembunuh Along Spoon bebas hari ini
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan peguamnya, Che Muji Che Noh berkata, Mohamed Ya’cob telah selesai menjalani hukuman 33 tahun bermula tarikh penangkapan pada 4 Januari 2000.
Terdahulu, pada Disember 1999, pelantun lagu Rindu Serindu Rindunya itu dilaporkan hilang ketika berusia 19 tahun.
Selepas 10 hari, pihak polis menjumpai rangka manusia dipercayai jasad Along yang diikat di dalam guni di lereng bukit di Kilometer 28, Jalan Kuala Klawang-Genting Peras, Jelebu, Negeri Sembilan.
Sementara itu, rakan terdekat yang hadir iaitu Zamri Mat Rosdi, 63, memaklumkan, dia mengenali Mohamed Yacob ketika berada dalam satu platun sama semasa berkhidmat dengan Pasukan Polis Hutan (PPH), kini dikenali sebagai Pasukan Gerakan Am (PGA).
"Saya datang ke penjara hari ini bagi memberikan sokongan moral terhadap Akob (Mohamed Ya'cob).
"Pada mulanya, saya agak hairan apabila Mohamed Yacob dibebaskan hari ini sebab menurut apa yang saya tahu, dia dihukum selama 33 tahun, mungkin kerana berkelakuan baik," ujarnya. - Sinar Harian
#Along Spoon #pembunuh dibebaskan #Penjara Kajang #Mohamed Ya'cob Demyati
;