Pembukaan sidang DUN Sabah berjalan lancar, penjarakan sosial diamalkan

Ruzaini Zulkepli
April 16, 2020 13:59 MYT
Meskipun berlangsung dalam tempoh PKP, persidangan itu telah menepati syarat-syarat yang diberikan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Pembukaan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah kali ke-15 pada hari ini cukup berbeza dengan sebelum ini.
Ia tetap diadakan ketika negara berdepan wabak COVID-19 dengan penerapan penjarakan sosial selain langkah pencegahan lain.
Malah jumlah kehadiran dalam dewan turut dihadkan kepada 50 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sahaja selaras dengan larangan kerajaan negeri untuk tidak berhimpun dari jumlah lebih daripada itu.
Menurut Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, meskipun berlangsung dalam tempoh PKP, persidangan itu telah menepati syarat-syarat yang diberikan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Jelasnya, dalam jemputan menghadiri persidangan, setiap wakil rakyat diarahkan memakai topeng penutup mulut dan proses pembasmian kuman turut dilakukan sebelum memasuki dewan DUN.
"Kita mengikut prosedur yang ditetapkan KKM. Malah sidang DUN yang dijadualkan berlangsung lima hari telah dipendekkan kepada tiga hari sahaja," katanya.
Terdahulu, pembukaan sidang DUN kali ke-15 itu telah disempurnakan oleh Tuan Yang Terutama Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin pada pagi Khamis.
Dalam ucapan pembukaannya, Juhar berkata, proses menyediakan Pakej Rangsangan Ekonomi Sabah akan disediakan kerajaan negeri bagi menghadapi cabaran ekonomi disebabkan pandemik COVID-19.
Jelasnya, antara kepentingan pakej tersebut adalah bagi menyuntik keyakinan para pelabur dan pertumbuhan ekonomi negeri sebaik sahaja tempoh PKP tamat nanti.
#COVID-19 #Ketua Menteri Sabah #Mohd Shafie Apdal #penjarakan sosial #perintah kawalan pergerakan #PKP #Sidang DUN Sabah #Tun Juhar Mahiruddin
;