Pembukaan semula sempadan: MOT terima 191,293 permohonan kenderaan dari Singapura
Bernama
April 1, 2022 16:19 MYT
April 1, 2022 16:19 MYT
AYER HITAM: Kementerian Pengangkutan (MOT) menerima sebanyak 191,293 permohonan kemasukan kenderaan persendirian dari Singapura susulan pembukaan sempadan Malaysia-Singapura mulai tengah malam tadi.
Bagaimanapun, Menterinya Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata hanya sekitar 65,000 kenderaan sahaja telah mendapat kebenaran masuk setelah masing-masing memiliki dan memasang tag Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) Permit Kemasukan Kenderaan (VEP).
Namun, bagi menggalakkan kemasukan kenderaan berkenaan, pihak MOT memberikan kelonggaran untuk baki kenderaan yang memohon iaitu sekitar 125,000, untuk memasuki negara ini tanpa perlu memasang RFID selama tujuh hari bermula hari ini.
"Kita beri masa sehingga 7 April ini untuk mereka memasuki Malaysia tanpa sebarang caj perjalanan, namun bermula 8 April mereka perlu mendapatkan RFID, jika tidak mereka akan dikenakan tindakan atau tidak dibenarkan masuk.
"Kita memahami sebab baki kenderaan berkenaan tidak lagi memasang RFID kerana pintu sempadan Malaysia-Singapura tidak dibuka (sebelum ini), sekali gus pemasangannya tidak dapat dilakukan...saya berharap dalam masa tujuh hari ini mereka dapat ambil peluang untuk memasangnya," katanya, hari ini.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas majlis Sambutan Hari Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) ke-76, di Dewan Muafakat Ayer Hitam, di sini.
Sementara itu, Wee berkata bagi pintu masuk laluan udara, sebanyak 60 penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) akan tiba, manakala sebanyak 50 penerbangan lagi akan berlepas keluar, hari ini.
Sementara itu, di KLIA2 pula, katanya sebanyak 16 penerbangan antarabangsa akan tiba dan 18 penerbangan lagi akan berlepas keluar.
-- BERNAMA