Pembukaan semula sekolah: Murid khas perlu ada pendekatan SOP - Ras Adiba

Hilmi Malik
September 13, 2021 20:19 MYT
Senator Datuk Ras Adiba Radzi berkata, ibu bapa memainkan peranan penting berikutan kanak-kanak bagi golongan itu mempunyai keupayaan yang berbeza. - Gambar fail
KUALA LUMPUR : Pendekatan situasi norma baharu perlu diterapkan di rumah khususnya terhadap murid-murid khas yang akan kembali mengikuti sesi persekolahan secara bersemuka di beberapa negeri.
Ahli Dewan Negara mewakili Orang Kelainan Upaya (OKU), Senator Datuk Ras Adiba Radzi berkata, ibu bapa memainkan peranan penting berikutan kanak-kanak bagi golongan itu mempunyai keupayaan yang berbeza.
“Penting untuk melatih anak-anak OKU dari rumah supaya mereka tahu dengan keadaan semasa kerana ada dalam kalangan mereka yang tidak mampu faham secara menyeluruh.
“Kanak-kanak seperti ini (OKU) perlu diterangkan dan perlu ada perumpamaan supaya mudah untuk mereka faham situasi pandemik ketika ini.
“Kita tidak boleh anggap semua murid-murid mempunyai pemahaman yang sama kerana ada kalanya mereka lupa dan mereka memerlukan bantuan kita,” katanya kepada Astro AWANI pada Isnin.
Menyedari keadaan COVID-19 yang masih membimbangkan, Ras Adiba berharap pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) serta pihak pengurusan sekolah dapat menyediakan kit ujian kendiri COVID-19 RTK- Antigen sebagai langkah pencegahan.
Keadaan itu juga berikutan terdapat ibu-bapa yang tidak mampu untuk menyediakan kit berkenaan atas faktor kos yang mungkin agak tinggi bagi mereka.
Katanya, pembukaan semula sesi persekolahan juga memerlukan sokongan ibu bapa untuk memantau proses pembelajaran murid-murid khas.
Ujar Ras Adiba, melihat kepada keadaan murid golongan itu, ibu bapa tidak sepatutnya hanya bergantung kepada guru-guru di sekolah.
“Keadaan ketika ini sememangnya mencabar bahkan seluruh dunia menghadapi situasi yang sama, maka cabaran bukan hanya terhadap guru malah ibu bapa juga berdepan situasi sama.
“Peringkat awal mungkin agak sukar, namun saya percaya pada masa akan datang ia telah menjadi kebiasaan kerana inilah situasi norma baharu yang perlu kita depani,” katanya lagi.
#COVID-19 #OKU #KPM #Ras Adiba #murid khas #pembukaan semula sekolah
;