Pembukaan semula PKRC MAEPS bukan tanda 'red flag' - Khairy
Eton Khir
Februari 25, 2022 17:55 MYT
Februari 25, 2022 17:55 MYT
PETALING JAYA : Pembukaan semula Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) bukan petanda penularan kes berada pada tahap serius di negara ini.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, keputusan itu diambil untuk meringankan beban hospital awam sekali gus berupaya menangani kes-kes selain COVID-19
Jelasnya, katil-katil di hospital akan berkurangan akibat kemasukan pesakit COVID-19 yang semakin meningkat.
“Pesakit hanya dapat tahu dijangkiti COVID-19 ketika mahu mendapatkan rawatan di hospital tanpa ada sebarang simptom. Ini sudah semestinya memerlukan pengurusan katil kerana dia perlu diasingkan terlebih dahulu di wad.
“Justeru, kalau boleh kita mahu dia diasingkan terlebih dahulu dan dalam masa yang sama hospital mempunyai fleksibiliti untuk rawatan penyakit lain. Kita mahu jaga kapasiti hospital dan pembukaan MAEPS bukan tanda lampu merah kes di negara ini,
"Ini untuk elakkan kesesakan di hospital," katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Kompleks Magnetic Resonance Imaging (MRI) dan Projek Naik Taraf Bekalan Gas Perubatan Pusat Kawalan Kusta Negara (PKNN) di Hospital Sungai Buloh (HSB) pada Jumaat.
Turut hadir Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah; Pengarah Bahagian Kejuruteraan (KKM), Tauran Zaidi Ahmad Zaidi dan Pengarah HSB, Dr. Kuldip Prem Singh.
Pada Khamis, Khairy mengumumkan pembukaan semula PKRC MAEPS dan mengarahkan agar semua kes rawatan tertunda akibat peningkatan virus COVID-19 tahun lalu diselesaikan tahun ini.
PKRC MAEPS 2.0 ditutup pada 8 Februari lalu selepas 14 bulan memberi khidmatnya kepada 166,072 pesakit COVID-19 yang terdiri daripada kategori satu hingga empat.
MAEPS diaktifkan sebagai PKRC pada 16 April 2020 dengan pengambilan pesakit COVID-19 yang hanya membabitkan pesakit bukan warganegara bagi kategori satu serta dua dan kemudian ditutup pada 15 Julai tahun yang sama.
Pada 9 Disember 2020, kerajaan memutuskan untuk mengaktifkan semula MAEPS sebagai PKRC susulan peningkatan kes COVID-19.
Ia kemudiannya dinaik taraf sebagai PKRC Bersepadu MAEPS 2.0 pada 24 Januari dengan menerima pesakit kategori tiga dan empat dengan skala sederhana.