Pembukaan semula Arked Niaga aktifkan aktiviti pelancongan dan ekonomi Wang Kelian

Bernama
Ogos 26, 2023 15:52 MYT
Para peniaga mengharapkan pusat perbelanjaan itu kembali rancak seperti dahulu, sekali gus dapat menjana pendapatan mereka dan ekonomi setempat. - Bernama
PADANG BESAR: Pembukaan semula Arked Niaga Wang Kelian dan Pasar Pertanian Pelancongan diharap mampu memberi nafas baharu kepada aktiviti pelancongan serta ekonomi di pekan sempadan Malaysia-Thailand itu.
Tinjauan Bernama mendapati beberapa kedai di Arked Niaga Wang Kelian mula dibuka hari ini, setelah lapan tahun ditutup akibat Pandemik COVID-19 dan penemuan kubur besar pada Mei 2015.
Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Pelancongan, Kebajikan dan Bantuan Bencana, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Wan Badariah Wan Saad, berharap usaha kerajaan negeri membuka kembali Arked Niaga Wang Kelian dan Pasar Tani Pelancongan itu, mampu merancakkan kembali industri pelancongan di pekan sempadan itu.
"Ini merupakan usaha awal kita bersama Jabatan Perhutanan Negeri Perlis (JPNPs) dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Negeri Perlis, bagi menghidupkan kembali aktiviti pelancongan dan ekonomi di Wang Kelian, setelah empat tahun ditutup akibat Pandemik COVID-19 dan penemuan kubur besar sebelum ini," katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Beliau berkata usaha menghidupkan semula Wang Kelian, merupakan salah satu usaha kerajaan negeri bagi menarik pelancong luar dan dalam negara, berkunjung ke sini sempena Tahun Melawat Perlis 2024-2025.
Wan Badariah berkata memandangkan waktu cuti sekolah ketika ini, dilihat ramai rakyat Malaysia ke Selatan Thailand, dengan ada tarikan baharu ini mereka dapat singgah di Arked Niaga Wang Kelian bagi berbelanja, ketika pergi atau pun balik dari sempadan.
"Produk pelancongan di Wang Kelian seperti Taman Negeri dan Viewpoint tidak kurang hebatnya dan mempunyai keunikan tersendiri, diharap mampu menarik pelancong dari Thailand datang ke sini," katanya.
Salah seorang peniaga Deraman Shaipee, 54, yang menjual Laksa Kuala Perlis di Arked Niaga Wang Kelian berkata beliau berkongsi harapan yang sama, mahu melihat Wang Kelian kembali menjadi lokasi tumpuan pelancong baik dari dalam dan juga luar negara.
"Dahulu sebelum ditutup saya pernah berniaga di sini (Wang Kelian), ramai pelancong datang bertandang dan suasana begitu meraih, saya harap usaha ini dapat mengembalikan semula kemeriahan pekan ini seperti lapan tahun lalu," katanya.
Deraman berkata beliau mengucapkan terima kasih kepada JPNPs dan kerajaan negeri yang berusaha menghidupkan semula aktiviti di Wang Kelian.
Turut berkongsi harapan yang sama, peniaga peralatan memancing, Tan Leok, 59, berharap usaha hari ini menjadi langkah pertama bagi mengembalikan semula kerancakan ekonomi di Wang Kelian.
"Dahulu seronok berniaga di sini, ramai pelancong tempatan dan Thailand datang...Saya harap Wang Kelian kembali meriah seperti dahulu, kerana ia banyak membantu ekonomi peniaga dan penduduk setempat," katanya.
Pada tahun 2015, Wang Kelian digemparkan dengan penemuan 106 rangka manusia mangsa sindiket pemerdagangan manusia dipercayai etnik Rohingya, sejak daripada itu pekan tersebut mula sepi.
Pada 1 April tahun sama, Jabatan Imigresen telah membatalkan serta-merta kemudahan pergerakan bebas ke pasar sempadan itu antara Malaysia dan Thailand.
Sebelum ini penduduk kedua-dua negara boleh menikmati kemudahan bergerak sehingga dua kilometer tanpa menggunakan pasport atau pas sempadan pada hari minggu, yang pernah dikuatkuasakan sejak 1993 hingga 2015.
-- BERNAMA
#Arked Niaga #Wang Kelian #ekonomi #pendapatan #pelancongan
;