Pembukaan sempadan: Prinsip selamat dan cekap bantu negara jadi destinasi pilihan - Khairy

Madiha Abdullah
Mac 19, 2022 20:30 MYT
Khairy berkata KKM dan Kementerian Pengangkutan berusaha memastikan proses kemasukan pelancong yang efisien. - Foto Bernama
SEPANG: Pembukaan sempadan negara bermula 1 April ini akan memberi penekanan kepada prinsip selamat dan cekap.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) bekerjasama rapat dengan Kementerian Pengangkutan bagi memastikan proses kemasukan pelancong yang efisien sekali gus mengelakkan kesesakan di Lapangan Terbang Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
"Semua pelancong perlu muat turun MySejahtera, muat naik keputusan ujian PCR dan isi borang pra-pelepasan. Apabila sudah lengkap dia akan dapat traveller's card melalui MySejahtera dan dibenar masuk pesawat.
"Sebaik sampai, dia melalui imigresen, kalau tak ada masalah berkaitan dokumen, mereka boleh masuk. On arrival testing boleh dibuat di lapangan terbang atau boleh buat di luar dalam tempoh 24 jam, iaitu RTK Antigen yang dibuat secara profesional.
"Kalau biasanya pelancong akan ambil masa lebih sejam, dengan adanya protokol baharu ini, KLIA akan mengurangkan masa dari disembark sehingga exit, lebih kurang 35 hingga 45 minit, seperti dahulu.
"Ini akan membantu kita menjadi destinasi pelancongan yang sangat kompetitif dan berdaya saing," katanya dalam sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke sempena persediaan lapangan terbang untuk pembukaan semula sempadan.
Turut serta adalah Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong.
Dua kaedah pengujian yang dijalankan di KLIA bermula 1 April ini ialah RTK Antigen dan ujian nafas, dan kosnya akan ditanggung sendiri oleh pengembara.
Dengan itu, Khairy menambah, tiada lagi kaunter ujian saringan RT-PCR seperti yang dikendalikan KKM selama dua tahun.
Sementara itu, Wee memaklumkan Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) udara menerima sambutan yang memberangsangkan.
"Setakat ini, VTL udara menyaksikan kemasukan 277,800 pengembara yang sekali gus memberi impak besar kepada pemulihan ekonomi," ujarnya.
#Khairy Jamaluddin #Kementerian Kesihatan #KKM #Wee Ka Siong #KLIA #pelancong #Kementerian Pengangkutan #pembukaan sempadan
;