Pembukaan sempadan: PM akan umum minggu depan - Khairy

Fareez Azman
Mac 5, 2022 13:24 MYT
Menurut Khairy, pengumuman itu akan dibuat sebelum tarikh pembukaan sempadan bagi memudahkan semua pihak menjalankan persiapan. - Gambar fail
PETALING JAYA : Pengumuman pembukaan sempadan dijangka akan diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob minggu hadapan.
Maklum Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, mesyuarat Kabinet pada Jumaat telah bersetuju dengan keputusan itu.
"Kalau tiada aral melintang, PM akan umum tarikh itu minggu depan, bukan minggu depan sempadan buka tapi pengumuman itu dibuat minggu depan.
"Semalam di (mesyuarat) Kabinet kita sudah setuju, tinggal lagi PM nak umum tarikh itu," jelasnya.
Tambah Khairy, pengumuman itu akan dibuat sebelum tarikh pembukaan sempadan bagi memudahkan semua pihak menjalankan persiapan.
"Pengumuman itu penting sebab akan beri masa sedikit kepada syarikat penerbangan, imigresen, hotel dan semua terlibat dalam sektor pelancongan dan pengembaraan untuk buat persediaan terbaik untuk pembukaan," jelasnya lagi.
Sebelum ini, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishamuddin Hussein berkata kementerian dan agensi berkaitan sedang memperincikan protokol pembukaan sempadan tersebut sebelum dimuktamadkan.
Jelasnya, keputusan tersebut bersandarkan kepada tiga perkara asas iaitu memberi keselesaan kepada pengembara dan tidak merumitkan perjalanan, berpandukan sains serta fakta terkini berkaitan COVID-19 selain membandingkan keperluan pembukaan sempadan dengan negara-negara lain.
#Khairy Jamaluddin #KKM #COVID-19 #VTL #Perdana Menteri #ismail sabri yaakob #Hishammuddin Hussein
;