Pembukaan sempadan: Pemain industri pelancongan perlu titik berat aspek kesihatan - Mata

Faris Danial Razi
Mac 8, 2022 23:46 MYT
Semua penggiat industri pelancongan dinasihatkan supaya lebih menitik berat aspek kesihatan bagi setiap pelancong yang bakal tiba dari luar negara. - Gambar hiasan/ BERNAMA
KUALA LUMPUR: Semua penggiat industri pelancongan dinasihatkan supaya lebih menitik berat aspek kesihatan bagi setiap pelancong yang bakal tiba dari luar negara.
Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (Mata) Datuk Mohd Khalid Harun dalam satu kenyataan memaklumkan, penyediaan kit ujian kendiri COVID-19 bagi memantau tahap kesihatan pelancongan setiap hari bakal menjadi satu perkara asas bermula 1 April nanti.
“Saya juga sedar ada di pasaran yang menjual kit ujian kendiri COVID-19 yang lengkap dengan aplikasi untuk memantau tahap kesihatan COVID-19 bagi kesemua pelancong yang masuk.
“Dengan adanya teknologi sebegini ia dapat membantu pihak KKM serta kerajaan bagi membendung kes COVID-19 yang melibatkan pelancong asing.
“Mata serta ahli-ahli sentiasa memberi sokongan dan kerjasama khususnya kepada MOTAC bagi mempromosikan kembali Malaysia ke peringkat antarabangsa.
“Mata akur bagi setiap SOP yang akan dirangka nanti bagi memastikan tiada penularan COVID-19 dikalangan pelancong asing,” jelas Khaled.
BACA: Sempadan negara dibuka sepenuhnya 1 April ini - Perdana Menteri
BACA: COVID-19: Malaysia memasuki Fasa Peralihan Ke Endemik bermula 1 April 2022 - PM
Khalid juga yakin, dengan tempoh kurang sebulan, pihaknya akan menyediakan pelbagai pakej pelancongan untuk dipasarkan.
Sambil menambah, pemain industri pelancongan dari setiap sektor seperti taman tema, perkapalan dan kedai cenderahati juga telah bersedia untuk menyambut pelancong luar.
Lebih dua tahun sempadan negara ditutup bagi mengekang penularan COVID-19, kerajaan akhirnya mengumumkan sempadan negara akan dibuka semula sepenuhnya pada 1 April depan.
#COVID-19 #pelancongan #pelancong #SOP
;