Pembukaan sempadan negara perlu dibuat secara berperingkat
Ridauddin Daud
Mac 8, 2022 15:03 MYT
Mac 8, 2022 15:03 MYT
KUALA LUMPUR: Pembukaan sempadan negara perlu dibuat secara berperingkat dengan mengikut keperluan dan keutamaan sektor ekonomi.
Cadangan itu disuarakan Pakar Pengurusan Risiko Kesihatan Persekitaran dan Pekerjaan dari Universiti Malaysia Sabah, Prof Madya Shamsul Bahari Shamsudin yang berpendapat pembukaan sempadan perlu dilakukan dengan teliti.
Menurutnya, kerajaan perlu seimbangkan faktor pemulihan ekonomi dan kesihatan dengan mengambil kira penularan COVID-19, kluster baharu yang mungkin muncul dan kadar vaksinasi termasuk dos penggalak.
Selain itu, katanya, kestabilan sosio politik di Malaysia juga perlu diberi perhatian kerana ia juga sebenarnya secara tidak langsung mempengaruhi pemulihan ekonomi negara.
“Apa yang kita boleh belajar dari negara jiran adalah mungkin kita boleh jadikan pengalaman negara lain sebagai rujukan kepada negara dalam aktiviti membuka sempadan.
“Cuma saya yakin tak semua protokol atau polisi yang mereka jalankan itu praktikal dan boleh dilakukan di Malaysia. Ada beberapa negara kita lihat buka sempadan bagi pemulihan ekonomi namun apabila kes melonjak, mereka tutup semula.
“Sudah pasti kita tidak mahu perkara itu berlaku dalam negara kita,” katanya ketika bersiaran langsung dalam Buletin AWANI pada Selasa.
Astro AWANI sebelum ini melaporkan kerajaan memberi jaminan akan membuka sempadan negara dalam masa terdekat, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Ahli Parlimen Bera itu berkata, ketika ini negara sedang dalam proses melaksanakan Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) ke beberapa negara tertentu, sebagai langkah berperingkat dalam membuka semula sempadan antarabangsa.
Katanya lagi, ahli keluarga yang sudah lama terpisah sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan, serta penutupan sempadan diharap dapat bersama semula tidak lama lagi termasuk meraikan Hari Raya Aidil Fitri.