Pembukaan sempadan Malaysia-Thailand bakal tingkat aktiviti rentas libatkan tenaga kerja, barangan
Bernama
Mac 31, 2022 17:47 MYT
Mac 31, 2022 17:47 MYT
KUALA LUMPUR: Gagasan Kerjasama Segitiga Pertumbuhan Indonesia Malaysia Thailand (IMT-GT) berkata pembukaan pintu sempadan Malaysia-Thailand akan meningkatkan aktiviti rentas sempadan melibatkan tenaga kerja dan barangan.
Pengerusi Majlis Bersama Perniagaan Malaysia (JBC Malaysia) IMT-GT Tan Sri Rozali Ismail berkata, ketibaan sumber manusia dari Thailand dijangka bakal memberi impak peningkatan ke atas beberapa sektor perniagaan seperti perkhidmatan, perladangan dan perikanan.
'Kami juga mengharapkan impak yang besar ke atas perdagangan mikro rentas sempadan, pelancongan, hotel dan makanan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Rozali berkata JBC Malaysia mengalu-alukan keputusan kerajaan membuka dua pintu sempadan darat (Bukit Kayu Hitam-Sadao dan Wang Kelian-Wang Prachan).
Beliau turut mengalu-alukan inisiatif kerajaan negara anggota IMT-GT yang bersetuju membuka sempadan negara dan memperkenalkan beberapa langkah yang memudahkan proses kemasukan pelawat asing di pintu sempadan mulai 1 April 2022.
"JBC Malaysia menyokong sepenuhnya langkah yang diambil oleh pihak berkuasa dan kerajaan negara anggota untuk memudahkan prosedur pra-keberangkatan dan ketibaan pelawat asing.
"Pengecualian beberapa keperluan ujian dan prosedur saringan yang lain sudah pasti melegakan ahli-ahli perniagaan kami yang berurusan di pintu masuk sempadan yang dijangka membantu meningkatkan kecekapan dan kepantasan proses daftar masuk," katanya.
Tambahnya, JBC Malaysia komited untuk mengutarakan idea dan cadangan kepada kerajaan dan negara anggota mengenai proses mitigasi pasca-pandemik yang akan memberi impak kepada usaha pemulihan perniagaan di wilayah IMT-GT khasnya dan negara amnya.
-- BERNAMA