PUTRAJAYA: Keadaan di semua pintu sempadan negara terkawal dan tiada kejadian tidak diingini berlaku hari ini, susulan sempadan negara dibuka buat kali pertama dalam tempoh kira-kira dua tahun sejak penularan wabak COVID-19, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani.

Beliau berkata polis meletakkan anggota yang mencukupi untuk penugasan di pintu sempadan bagi memastikan keadaan keluar dan masuk negara berjalan lancar.

"Saya boleh katakan keadaan terkawal, kita memang nampak kesesakan di sempadan Johor-Singapura tetapi semuanya masih di dalam kawalan.

"Selain itu, kerjasama di antara polis dengan orang awam adalah antara faktor segala-galanya berjalan dengan lancar tanpa sebarang isu yang timbul pada hari sempadan negara dibuka hari ini," katanya.

Agenda AWANI: Rentas Jambatan Endemik

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis Apresiasi Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) kepada agensi penguatkuasaan di sini hari ini.

Pada 8 Mac lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan sempadan negara dibuka semula pada hari ini (1 April) selari dengan perancangan negara memasuki Fasa Peralihan ke Endemik.

Sementara itu diminta mengulas mengenai sama ada terdapat gerakan kartel atau campur tangan pihak luar bagi menentukan jawatan dalam kepimpinan pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Acryl Sani menafikan perkara berkenaan.

"Isu kartel dalam PDRM tidak wujud, kerana sekiranya ia wujud pasti semua akan lihat sekelompok individu yang sentiasa berada di depan.

"Penempatan pegawai dan anggota perlu melalui beberapa tapisan daripada peringkat kontinjen, jabatan pengurusan sebelum (sampai) kepada saya sendiri dan seterusnya akan dikemukakan ke Suruhanjaya Pasukan Polis untuk keputusan akhir," katanya.

Mengulas lanjut, Acryl Sani berkata tapisan yang ketat dibuat itu menjadikan sukar untuk melihat berlakunya percaturan individu oleh kumpulan kartel mahupun campur tangan daripada pihak luar.

"Saya tidak melihat perkara itu berlaku dan sekiranya ada campur tangan pihak luar, ia akan mengakibatkan susunan pegawai kanan menjadi tidak teratur," katanya.

Pada 28 Feb lepas, Barisan Pesuruhjaya EAIC sebulat suara mendapati bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador telah hilang haknya untuk membuat sebarang komen berkenaan isu kartel yang dibangkitkannya, kerana dalam rakaman percakapan dengan EAIC, beliau gagal mengemukakan sebarang bukti bagi mengukuhkan dakwaan itu.

-- BERNAMA